Ahad, 6 Julai 2014

Jaga anak baik-baik, kata-kata terakhir Sarjan Bayong

BERNAMA 


KUCHING: "Jaga anak baik-baik," demikian kata-kata terakhir Sarjan Bayong Burma kepada isterinya Nancy Garang sebelum keluar berkonvoi pada pagi hari kejadian (Khamis lalu) dari Kem Lapangan Tebang Sungai Petani, Kedah ke Gemas, Negeri Sembilan untuk menjalani latihan menembak.
  
Sarjan Bayong, 36, seorang 'gunner' di Alpha Skuadron Rejimen Ke-3 Kor Armor Diraja Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, meninggal dunia selepas kereta perisai yang dinaiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 232.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Kuala Kangsar.
  
Mayat mendiang Bayong tiba melalui Kompleks MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira 11.50 pagi tadi.
  
Mendiang berkhidmat dengan tentera kira-kira 18 tahun.
  
Terdahulu, mayat itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang jam 7 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum bertolak jam 10 pagi ke Kuching.
  
Ketika ditemui pemberita, Nancy, 31, yang kelihatan masih sedih dengan pemergian suaminya itu tidak banyak berbicara, mendukung anak bongsu mereka Casper Lukas, berusia 10 bulan.
  
Nancy merenung sayu keranda yang membawa mendiang suaminya sambil ditenteramkan oleh Panglima 3 Briged Brigadier Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami.
  
Selain Casper, pasangan itu yang mendirikan rumah tangga sejak 2002, mempunyai dua lagi anak lelaki - Aldraien Mark, 11, dan Benedict Moses, 8.
  
Aldraien kelihatan masih tidak memahami apa yang berlaku.
  
Ketika ditanya hanya menggelengkan kepala sambil berkali-kali menyebut 'Daddy'.
  
Keranda mendiang yang tiba, diusung oleh sembilan anggota dari Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja, Kem Penrissen ke van tentera dan kemudian dihantar ke kediaman keluarganya di Taman Desa Indah, Sri Aman, kira-kira tiga jam perjalanan dari sini.
  
Jadual pengkebumian belum diumumkan.
  
Kejadian yang berlaku Khamis lalu itu turut meragut nyawa Koperal Che Mohd Patanah Che Ismail.
  
Beliau meninggal ketika dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.
  
Dua anggota tentera yang parah, iaitu Koperal Sharifuddin Abdullah dan Lans Koperal Freaddy anak Barlabas, menerima rawatan di hospital sama. - Bernama

Tiada ulasan: