Ahad, 27 Julai 2014

Isu MB: Sokongan Anwarinas punca perbezaan pendapat dalam PAS

 Ditulis Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Ketidakbersamaan Mohamad Sabu di dalam pendirian pemimpin nombor satu parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor memperlihatkan sokongan dan pengaruh 'Anwarinas' terhadap Timbalan Presiden PAS itu.
 
Setiausaha Perhubungan Umno Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata seharusnya ahli-ahli parti Islam tersebut menghormati dan akur keputusan yang dibuat oleh Hadi.
 
"Inilah kuasa kuku besi yang digunakan Anwar. Tak boleh guna saluran ini, maka dia akan guna saluran lain. Semua orang, termasuk pimpinan PAS mengetahu Mat Sabu adalah daripada kumpulan Anwar.
 
"Jika pandangan peribadi Presiden sekalipun, ia adalah pandangan beliau, dan jika di bawa ke mesyuarat itu adalah lontaran keputusan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
'Anwarinas' merujuk kepada golongan pemimpin di dalam PAS yang proksi kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merubah struktur kepimpinan parti Islam itu kepada liberal.
 
Mohamad Sabu semalam menyifatkan kenyataan Hadi mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah pandangan peribadi dan bukan keputusan rasmi parti itu.
 
Beliau yang mesra dengan panggilan 'Mat Sabu' sebaliknya berkata pendirian rasmi PAS mengenai kedudukan Khalid akan diputuskan selepas sambutan Aidilfitri nanti.
 
Ia susulan tindakan Hadi yang mempertahankan Khalid kerana tidak pernah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat terhadapnya.
 
Johan ketika mengulas isu yang sama kemudiannya berkata, sikap parti Islam itu jauh lebih berbeza dengan Umno yang sentiasa mendukung dan menghormati pendirian pucuk pimpinannya.
 
"Beliau Presiden, mengapa beliau membuat kenyataan jika beliau tiada jawatan.
 
"Memang kita punya tradisi walaupun bukan di dalam perlembagaan. Tradisi kita begitu, apa yang pemimpin kita cakap, kita patuh dan ikut," ujarnya.
 
Sebelum ini, Anwar mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat Rabu lalu menerima cadangan PKR untuk menggantikan Abdul Khalid  dan mencalonkan presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.

Tiada ulasan: