Selasa, 1 Julai 2014

Imuniti diplomatik biasa digunakan jika melibatkan jenayah, kata bekas diplomat

OLEH JENNIFER GOMEZ


Bangunan Wisma Putra di Putrajaya di mana menteri Datuk Seri Anifah Aman memberitahu sidang media tentang kes rogol yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai diplomat Malaysia di New Zealand pada bulan Mei. - Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal, 1 Julai, 2014.
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya di mana menteri Datuk Seri Anifah Aman memberitahu sidang media tentang kes rogol yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai diplomat Malaysia di New Zealand pada bulan Mei. - Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal


Menjadi kebiasaan bagi sesebuah kerajaan menggunakan imuniti diplomatik apabila pegawai mereka didapati melanggar undang-undang di negara asing, kata bekas diplomat hari ini.

Mengulas kes diplomat Malaysia yang dipanggil semula ke New Zealand selepas namanya didedahkan sebagai suspek kes cubaan rogol, bekas diplomat itu berkata imuniti diplomatik biasanya terpakai.

 Dr Azhari Karim, bekas duta Malaysia ke Jerman, Romania dan Sepanyol berkata dalam kes ini undang-undang rujukan utama walaupun seseorang itu terlibat dalam kes peribadi seperti cubaan rogol.

Katanya, dalam apa kes sekalipun, diplomat itu akan disiasat kerana melakukan jenayah di negara asalnya. "Kita mesti pelihara kedudukan itu. Imuniti perlu digunakan.

 "Dia akan dibicarakan apabila pulang. Pesalah tidak akan dilepaskan jika tuduhan didapati benar," katanya.


Beliau berkata terdapat isu lain yang perlu dipertimbangkan seperti penahanan yang perlu dilihat oleh kerajaan Malaysia.

 Katanya, ini bukan kali pertama imuniti diplomatik digunakan bagi kesalahan peribadi kerana terdapat kes sebelum ini yang tidak diperbesarkan.

"Saya tidak nafikan terdapat kes imuniti diplomatik bagi kesalahan peribadi tetapi ia mungkin selesai dengan penyelesaian bersama, maka ia tidak dihebahkan.

 "Ini mungkin kali pertama menjadi isu umum," katanya.

 Ketika ditanya sama ada kemungkinan diplomat yang terlibat itu dibicarakan di New Zealand, Dr Azhari berkata. Dalam kes Malaysia, ia isu sensitif terutamanya melibatkan penjawat awam".
Bagaimanapun, beliau melihat perkara yang betul menggunakan imuniti dengan kapasiti seorang diplomatik.

 Seorang lagi diplomat Malaysia yang pernah berkhidmat di beberapa negara sejak 1970-an bersetuju bukan sesuatu yang ganjil apabila kerajaan memanggil balik diplomatnya selepas melakukan kesalahan.
 
" Ini sebahagian amalan diplomatik yang diamalkan banyak negara termasuk di Barat," katanya.

Beliau berkata imuniti itu terpakai sekalipun merujuk kepada kesalahan peribadi seperti cubaan rogol di New Zealand. Katanya, contoh terbaru adalah Kedutaan India di New York yang memanggil balik diplomatnya atas tuduhan bayaran rendah kepada pembantu rumahnya.

 "Baginya, apa yang dibayar kepada pembantu rumah adalah perjanjian bersama namun pihak berkuasa Amerika Syarikat menganggap ia melanggar hak asasi manusia.

 "Seperti kes diplomat Malaysia yang dikatakan terlibat dalam cubaan rogol. Kita tidak tahu sama ada ia suka sama suka atau benar satu cubaan rogol. "Terlalu awal untuk membuat kesimpulan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata walaupun terdapat kes sesebuah kerajaan menggugurkan imuniti dan membenarkan seseorang diplomat itu dituduh di negara asing, namun ia bukan menjadi satu kebiasaan.

Kerajaan Malaysia pada bulan lepas meminta pihak berkuasa New Zealand mengugurkan semua pendakwaan ke atas diplomat Malaysia yang terlibat dalam serangan seks.

Dalam surat kepada Kementerian Luar New Zealand pada 21 Mei, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Wellington meminta semua pertuduhan ke atas Muhammad Rizalman Ismail digugurkan.

 "Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan hormatnya memberitahu kerajaan Malaysia tidak akan melepaskan imuniti peribadi kepada Muhammad Rizalman Ismail dan memutuskan beliau dihantar balik ke Malaysia secepat mungkin.

 "Suruhanjaya Tinggi Malaysia juga meminta kerjasama Kementerian Luar dan Perdagangan New Zealand bagi mempertimbang untuk membekalkan semua dokumen melibatkan isu tersebut dan mengugurkan pertuduhan ke atas Muhammad Rizalman Ismail."

Sebagai balasan, kerajaan Malaysia akan memastikan Rizalman tidak kembali ke New Zealand pada masa hadapan, kata Suruhanjaya Tinggi.

Tiada ulasan: