Isnin, 7 Julai 2014

'Gelandangan bergaji kecil boleh lapor pada KPWKM'

MALAYSIAKINI


 


Golongan gelandangan yang mempunyai pekerjaan tetapi memperoleh gaji sedikit boleh membuat aduan kepada Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat melalui talian Nur 15999.
  
Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata meskipun penindasan seumpama itu boleh berlaku, namun kementerian tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana tiada sebarang aduan dibuat.
  
"Kalau ada perkara sebegitu maklumkan kepada kami, jangan simpan sendiri, kerana kerajaan telah menguatkuasakan pelaksanaan gaji minimun," katanya dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan di Putrajaya hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang rungutan golongan gelandangan yang mendapat gaji sedikit sedangkan kerajaan telah menguatkuasakan gaji minimum di seluruh negara mulai Januari lepas.
  
Pelaksanaan dasar gaji minimum diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 30 April 2012. Gaji minimum di Semenanjung ialah RM900 sebulan dan RM800 di Sabah, Sarawak serta Labuan.
  
Sementara itu, Rohani berkata sebanyak 735 dari 1,560 gelandangan yang pernah datang ke Anjung Singgah, pusat perlindungan sementara untuk golongan gelandangan berteduh, telah memperoleh pekerjaan sejak 2011.-Bernama

Tiada ulasan: