Ahad, 27 Julai 2014

'Dayak pedalaman jangan mudah terpedaya'

MALAYSIAKINI


Pemimpin dan ahli politik Dayak dalam kerajaan sentiasa mengutamakan kepentingan kaum itu dan hak-hak mereka di negara ini, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi.

Sehubungan itu beliau meminta kaum Dayak, terutama di kawasan pedalaman agar tidak mudah terpedaya dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa nasib mereka tidak dibela oleh pemimpin terbabit.

"Kami sentiasa membela komuniti ini dalam sebarang isu yang ada kepentingan. Justeru jangan fikir kami tidak menjalankan tugas atau terlalu selesa dengan apa yang kami terima sehingga tidak mempedulikan kaum sendiri," katanya kepada pemberita selepas pulang daripada sesi pemimpin bersama rakyat di Rumah Panjang Unyat Chupong di Merirai, Kapit hari ini.

Nanta yang juga Anggota Parlimen Kapit berkata hanya kerana apa yang mereka lakukan tidak mendapat publisiti media, tidak bermakna mereka tidak melaksanakan tanggungjawab.

Beliau juga menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin yang bertimbang rasa dan prihatin terhadap keperluan rakyat serta mudah didekati.

Katanya rakyat Sarawak turut bertuah kerana mempunyai Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri kerana beliau juga seorang pemimpin yang bertimbang rasa, berpandangan jauh serta mudah didekati.- Bernama

Tiada ulasan: