Sabtu, 5 Julai 2014

Chong Wei cedera, mungkin tarik diri Sukan Komanwel

MALAYSIAKINI



 
 
 
Jaguh negara Datuk Lee Chong Wei mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk mengetuai skuad badminton negara ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.
  
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau menerima berita yang pemain nombor satu dunia itu mengalami kecederaan yang menyebabkannya mungkin tidak dapat menyertai skuad negara ke Scotland.
  
"Saya ada terima berita dari Institut Sukan Negara (ISN) bahawa kecederaan yang dialami Chong Wei mungkin tidak dapat mengizinkan dia bermain di temasya Sukan Komanwel itu," katanya kepada pemberita sebelum Majlis Pengagihan Zakat dan Majlis Berbuka Puasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Jias di Pasir Mas malam tadi.
  
Beliau berkata jika perkara berkenaan disahkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memikirkan strategi terbaik bagi menggantikan Chong Wei.
  
"Saya harap BAM akan dapat buat pilihan terbaik untuk menggantikan beliau dan pemain yang lain mestilah menunjukkan prestasi baik untuk menampung kehilangan Chong Wei terutama dalam acara berpasukan.
  
"Jika perkara ini betul dan disahkan ia merupakan kehilangan besar buat kita sebab kita harapkan beliau untuk dapat satu atau dua pingat emas," katanya.
  
Adalah difahamkan pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan pangkal peha ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia di Jakarta bulan lepas dan kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan.
  
Adalah dipercayai pihak ISN telah memaklumkan kepada pemain itu bahawa penyertaannya dalam Sukan Komanwel kali ini merupakan 'keputusan yang tidak bijak' kerana beliau memerlukan rawatan secara terperinci.
  
Selepas Sukan Komanwel, Chong Wei juga dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Denmark pada 25-31 Ogos ini sebelum menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini. - Bernama
 

Tiada ulasan: