Isnin, 7 Julai 2014

Cakap-cakap MB undur, wartawan kerumun istana

MALAYSIAKINI


 


Wartawan berkumpul di hadapan Istana Mestika, Shah Alam dan Istana Alam Shah, Klang hari ini lantaran khabar angin Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan meletakkan jawatan.

Walaupun tiada pengumuman rasmi, beberapa kumpulan wartawan berlegar di pintu masuk Istana Alam Shah sebelum berpindah ke Istana Mestika kira-kira jam 10:30 pagi.

Sekumpulan yang lain berkumpul di Bangunan Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) dan bangunan Darul Ehsan untuk menyerbu Khalid berkenaan khabar angin ini.

Bagaimanapun Khalid yang diberitahu kini sedang bermesyuarat di SUK masih tidak bertemu media.

Khabar angin yang berlegar di laman sosial dan aplikasi Whatsapp sejak tengah malam semalam berbunyi:

"Latest dari sumber media:

“Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan mengadap ke bawah DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada jam 9 pagi esok 7 Julai 2014 bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. Sidang media khas menyusul selepas itu."

Bagaimanapun tiada media yang mengaku memberi sumber itu kepada awam.

Pejabat MB kata 'tipu'

Pejabat menteri besar Selangor ketika dihubungi menafikan Khalid akan menghadap Sultan dan meletakkan jawatan hari ini.

Setiausaha akhbarnya Arfa'eza Aziz (kanan) berkata hal itu hanya khabar angin yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya dah kata tipu. Tak, beliau tidak berjumpa Sultan (untuk letak jawatan)," kata beliau kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun Pejabat Menteri Besar masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi menafikan hal ini apabila dihubungi wartawan.

Khalid dilihat sedang ditekan oleh parti beliau apabila beberapa pimpinan PKR secara terbuka menyatakan mahu beliau meletakkan jawatan.

Tiada ulasan: