Ahad, 6 Julai 2014

Cadangan PM menyenangkan, bukan penyelesaian

OKUBangkit

Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF


 “Insya-Allah, kebajikan serta keselamatan mereka akan terpelihara.”

Demikian cetusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebagaimana dipetik dari Bernama 1 Julai yang menggesa agar ibu-bapa yang mempunyai anak OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM.

Sejak Malaysia merdeka, sememangnya JKM adalah agensi utama yang dipertanggungjawabkan menjaga hal-ehwal OKU. Dengan pelbagai paparan media dan hebahan dari pimpinan utama, kami warga OKU dan ahli keluarga sering meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada JKM untuk membantu kami keluar daripada cabaran kecacatan yang dialami.

Dengan sebaran kefahaman yang kian meluas ditambah dengan pengetahuan kenegaraan, harapan tersebut tidak lagi seperti dulu. Ada sesuatu yang perlu diperbaiki demi kepentingan OKU pada masa hadapan.

Secara realiti dan berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh kebanyakan OKU dan ahli keluarga, JKM tidak lebih daripada badan yang berfungsi sebagai pengagih bantuan dan sumbangan kepada mereka yang layak. Apakah adil untuk diletakkan atas bahu JKM perihal 4.4 juta OKU dengan bebanan yang telah sedia ditanggung bagi menangani pelbagai kesulitan masyarakat?

Bagi kebanyakan OKU dan ahli keluarga yang sedar, meletakkan segala macam hal-ehwal OKU kepada JKM bukan lagi pendekatan terbaik. Sebagaimana saya tegaskan sejak awal, komitmen Malaysia meratifikasikan Convention on the Rights of Persons with Disabilities (CRPD) sejak 2010 perlu dizahirkan secara nyata agar dapat dirasai oleh seluruh OKU dan ahli keluarga.

Apatah lagi pada 18 November 2012, dalam 21st ASEAN SUMMIT di Phnom Pen, Kemboja, Malaysia turut menjadi ahli kepada Asean Human Right Declaration. Dalam Asean Human Right Declaration, Perkara 2 dan 4 memberi penegasan untuk setiap negara Asean menyediakan prasarana yang secukupnya kepada penduduknya, termasuklah kepada OKU yang dianggarkan membentuk 15% daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Terlebih awal dari itu, Malaysia telah pun menggubal dan mewartakan perundangan dalam negeri berkaitan hal-ehwal OKU pada Julai 2008. Akta Orang Kurang Upaya 2008 adalah suatu janji-janji perundangan kerajaan Malaysia kepada rakyat yang dikategorikan sebagai OKU.

Jika kita memenuhi saranan PM, apa yang diperolehi dalam kes seperti di Nilai? Pertamanya adik Firdaus layak untuk diberi bantuan sebanyak RM150 setiap bulan. Manakala penjaganya pula layak untuk diberi elaun atas penjagaan sebanyak RM300.00 setiap bulan.

Apakah elaun ini sahaja telah mencukupi? Perlu kita sedar OKU seperti adik Firdaus memerlukan pelbagai sokongan utama termasuk ubat-ubatan dan makanan yang sesuai. Ini belum dikira keperluan asas diri seperti cawat dan lain-lainnya.

Tidak cukup dari itu, sokongan emosi kepada penjaga OKU sebegini amatlah diperlukan. Kalau nak dikira, perhitungannya macam mudah. Dengan kompleksiti kecacatan yang ada pada hari ini, ia tidak seperti yang dijangka oleh banyak pihak.

Saya berpandangan cadangan daripada PM meskipun menyenangkan namun ia bukan penyelesaian.
Justeru, apakah langkahan proaktif yang perlu difikirkan oleh kerajaan dalam hal ini? Satu hakikat yang perlu kita sedar adalah sistem pendidikan kita masih belum mampu melahirkan masyarakat yang cakna dan bersikap empati kepada OKU. Kita masih berada dalam suasana masyarakat yang amat berhati-hati dengan keperluan dan keupayaan OKU yang pelbagai katagori.

Dalam hal ini, usaha advokasi dan penghubung jalin antara pelbagai agensi dan kementerian ke arah pembangunan OKU yang menyeluruh wajib dilakukan. Usaha ini tidak wajar diletakkan atas bahu JKM semata-mata.

Pembangunan OKU bukan lagi didasari simpati, bahkan ia adalah suatu hak yang dijamin oleh perundangan dan konvensyen antarabangsa. Jika dihalusi pelbagai saranan daripada wakil-wakil pertubuhan OKU, portfolio khusus yang bertanggungjawab kepada jemaah kabinet atau PM mesti dirintis.

Melantik seorang senator mewakili OKU di Dewan Negara hanyalah sebahagian daripada langkah yang diperlukan. Dengan cabaran semasa dan kompleksiti isu OKU dalam pelbagai kategori, sikap berani kerajaan membuka lembaran baru dalam pembangunan OKU amatlah diharapkan.

Suatu badan rujuk dan advokasi yang diterajui oleh OKU sendiri boleh dimulakan sebagai pelengkap kepada agensi-agensi sedia ada.

Tentunya bila kita menyebut kerajaan ia turut meliputi kerajaan di peringkat negeri, sama ada negeri yang diterajui Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Dalam mengemukakan cadangan sebegini, kita telah mempunyai beberapa kelompok OKU dan kalangan yang pakar yang sedia untuk bersama bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “Mesra OKU” pada masa hadapan meskipun cabarannya cukup besar.

*Penulis adalah Ketua Penggerak OKU Bangkit

Tiada ulasan: