Khamis, 3 Julai 2014

BERSIH selar SPR isu 'satu orang, satu undi'

MALAYSIAKINI


 


Gabungan NGO BERSIH berpendirian bahawa Tan Sri Abdul Aziz Yusof tidak layak mengetuai Suruhanjaya Pilihan Raya kerana menyifatkan prinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai' sebagai langkah tidak praktikal untuk menjalankan persempadanan semula.

Walhal, prinsip berkenaan adalah asas kepada pilihan raya dan perwakilan pemilih dalam sesebuah sistem demokrasi, kata BERSIH dalam kenyataannya.

“Tanpa 'satu orang, satu undi, satu nilai', pilihan raya tidak akan bermakna, terutama bagi pemilih yang undinya lebih tidak bernilai.

“Dalam pilihan raya umum ke-13, ia membentuk 53 peratus daripada jumlah yang mengundi,” kenyataan BERSIH dipetik.

Ia turut menegaskan bahawa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak harus dijadikan alasan untuk merendahkan prinsip 'satu orang, satu undi, satu nilai'.

Kenyataan BERSIH itu merujuk kepada Seksyen 2(c), Bahagian 1, Jadual 13 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ia tidak bermaksud bahawa SPR boleh mengutamakan kesenangan dalam pentadbiran dan perwakilan mengikut kaum mengatasi prinsip tersebut, menurut BERSIH lagi.

Gabungan NGO itu turut menegaskan bahawa prinsip berkenaan merupakan salah satu daripada tujuh perkara utama yang dikenalpasti oleh panel Tribunal Rakyat ke atas Pilihan Raya Umum ke-13.

Ia bagi menjawab kenyataan Abdul Aziz seperti disiarkan dalam satu laporan akhbar Berita Harian semalam yang memberi gambaran bahawa pelaksanaan 'satu orang, satu undi, satu nilai' memerlukan kawasan yang dengan jumlah pengundi yang sama.

Dalam wawancara disiarkan akhbar tersebut, Abdul Aziz berkata SPR lazimnya menetapkan sempadan pilihan raya mengikut kawasan bandar, separa bandar dan luar bandar.

“Di bandar sudah tentu penduduknya ramai manakala kawasan separa bandar jumlah penduduk tidak berapa ramai.

“Kalau di luar bandar, memang bilangannya jauh lebih kecil berbanding di dua kawasan tadi, maka kita tidak boleh samakan kawasan Parlimen atau DUN di bandar dengan separa bandar dan luar bandar,” katanya dalam laporan itu.

Tambahnya, perkara itu tidak adil bagi wakil rakyat kerana kemudahan di kawasan bandar lebih baik berbanding di kawasan luar bandar.

“Ada kawasan Parlimen yang pekannya hanya mempunyai lima kedai sederet, rumah penduduk jauh-jauh dan sukar dihubungi.

“Maknanya, janganlah hendak memperjuangkan sesuatu kerana hendak populis,  perlu praktikal,” katanya lagi.

Tiada ulasan: