Sabtu, 26 Julai 2014

Astro akui beri kontrak pada Amdocs

MALAYSIAKINI



 


Rangkaian penyiaran Astro mengakui bahawa syarikat itu melantik syarikat yang ditubuhkan di Israel, Amdocs untuk menyediakan perisian serta perkhidmatan pengurusan perhubungan pelanggan dan pengebilannya.

Astro menjelaskan demikian dalam kenyataannya, susulan serangan penggodam yang mensasarkan halaman utama laman webnya, astro.com.my semalam.

Dalam kenyataan itu, Astro menjelaskan bahawa Amdocs kini berpengkalan di Amerika Syarikat dan diapungkan di pasaran saham negara itu.

"Ibu pejabat Amdocs utama terletak di Amerika Syarikat. Southwestern Bell yang berpangkalan di Amerika Syarikat memperoleh 50% daripada kepentingan Amdocs pada tahun 1985.

"Hari ini, Amdocs dimiliki 100% secara institusi melalui penyenaraiannya di Bursa Saham NASDAQ," kata Astro menerusi laman Facebook rasminya petang tadi.

Astro menambah Amdocs mempunyai lebih 20,000 pekerja di 70 negara.

"Anak syarikat Amdocs yang dilantik oleh Astro telah diperbadankan di Ireland dan Malaysia," kenyataan itu dipetik.

Serangan penggodam ke atas laman web Astro itu berlaku susulan pendedahan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi berhubung kontrak lumayan tersebut.

Asyraf yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno itu menyelar tindakan tersebut, yang tidak sensitif pada perkembangan konflik di Gaza, yang membunuh lebih 800 nyawa umat Islam.

Penggodam memuatkan imej warna bendera Malaysia dan Palestin dengan slogan “#OpSaveGaza”.

Tiada ulasan: