Ahad, 6 Julai 2014

Apabila bersedekah dianggap jenayah, pemerintah dan rakyat terpisah

OLEH MD IZWAN


Sukarelawan membawa makanan untuk diedarkan kepada gelandangan di Kuala Lumpur semalam. Menteri Wilayah Persekutuan berkata beliau menguatkuasakan larangan memberi bantuan makanan dalam lingkungan 2km daripada pusat beli-belah Lot 10 di pusat perniagaan Golden Triangle Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 6 Julai, 2014.
Sukarelawan membawa makanan untuk diedarkan kepada gelandangan di Kuala Lumpur semalam. Menteri Wilayah Persekutuan berkata beliau menguatkuasakan larangan memberi bantuan makanan dalam lingkungan 2km daripada pusat beli-belah Lot 10 di pusat perniagaan Golden Triangle Kuala Lumpur. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim


 Apabila usaha murni dan baik hati rakyat biasa membantu golongan tidak bernasib baik dianggap jenayah, semakin jelas hubungan pemerintah dengan rakyat terpisah.

 Aktiviti memberi makanan kepada gelandangan tidak ditaja syarikat swasta ataupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengaut untung berjuta-juta ringgit, tetapi ia adalah inisiatif peribadi mereka yang mahu membantu golongan tidak bernasib baik ini.

Membantu golongan tidak bernasib baik atau gelandangan ini tidak memerlukan anda untuk menulis cek dan bergambar masuk akhbar.

"Pendirian kami jelas, beri makanan tidak salah. "Ia suatu yang tidak dapat diterima moral manusia apabila hendak berbuat baik tetapi tidak boleh dan dikata jenayah," kata Izwandi Ngadi, 29, salah seorang sukarelawan Dapur Jalanan.

Seperti kumpulan pemberi makan kepada gelandangan lain, Dapur Jalanan juga menjalankan aktiviti sama pada setiap hujung minggu di kawasan Jalan Panggung, di tengah ibu kota. Baru-baru ini,


Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi kata dua kepada kumpulan yang memberi makanan kepada gelandangan.

 "Kami dapur jalanan akan teruskan macam biasa, apa hendak jadi tidak kisahlah," kata beliau mengulas kenyataan Tengku Adnan baru-baru ini. Walaupun diberi tekanan, apa yang berlaku adalah semakin ramai yang tampil untuk membantu dan menjadi sukarelawan.

 Tinjauan The Malaysian Insider semalam di Jalan Panggung mendapati jumlah sukarelawan yang datang lebih ramai daripada gelandangan yang sedia ada.

 Seorang gelandangan bernama Khoo Kok Ming, 57, yang menjadi pelanggan tetap Dapur Jalanan berkata kebiasaannya jumlah mereka yang mengambil makanan lebih ramai sebelum ini.

 "Selalu lagi ramai daripada ini, beratur lagi panjang. Mungkin sebab ramai orang yang datang malam ini, mereka juga tidak berani untuk keluar.

 "Lagipun ada juga yang bimbang kalau kena tangkap," kata Khoo. Khoo salah seorang daripada yang tidak bernasib baik, berasal dari Klang, dia dihalau keluar rumah kerana tabiat berjudinya.

Bagaimanapun, Khoo yang sudah empat bulan menjadi gelandangan berkata sudah membuang tabiat buruknya itu.

"Sudah empat bulan saya di sini, semua tabiat judi saya sudah berhenti. "Bukan saya tidak mahu pulang, kalau pulang tiada wang pun tidak guna," kata Khoo.

Khoo adalah warga Malaysia memiliki kad pengenalan, sihat tubuh badan tetapi tidak memiliki kerja tetap. Beliau juga terpaksa mengutip sisa makanan yang ditinggalkan seperti di restoran makanan segera KFC sekiranya kelaparan.

 "Kalau ada mereka ini beri makan, sekurang-kurangnya saya tidak perlu mengutip makanan. "Dapat juga makanan yang baik dan enak," kata beliau.

Selain Khoo, turut ditemui dua lelaki berbangsa Melayu yang mahu dikenali sebagai Mizi, 42, dan Shahril, 45, yang sudah berada di ibu kota selama sebulan.

Kedua-dua mereka berasal dari Pahang dan datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

 "Saya sebatang kara, tiada tempat bergantung. Saya datang ke sini untuk mencari kerja," kata Mizi yang masih gagal mendapat sebarang pekerjaan tetap.

 Mizi yang sedang membalut rokok dengan kertas untuk dihisap mengeluh kebimbangan sekiranya ditangkap dan dihantar pulang ke Pahang. "Saya sudah tiada siapa di sana, kalau dihantar sama juga. Saya akan jadi gelandangan juga," kata beliau.

Rakannya, Shahril pula lebih berdiam diri dan sukar untuk berbicara. Rata-rata gelandangan ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, muda atau tua, lelaki dan wanita.

Bukan semua memilih untuk hidup sedemikian, tetapi kesempitan dan nasib tidak menyebelahi mereka menjadi punca kehidupan di jalanan adalah pilihan yang terakhir.

Bagi Dapur Jalanan, kehadiran orang ramai yang hadir menghulurkan bantuan sangat dialu-alukan. Isu sebenar yang menjadi permasalahan adalah peranan pihak berkuasa, khususnya agensi kebajikan yang menjadi persoalan di mana kedudukan mereka dalam menangani isu ini.

 Kemelut melibatkan golongan gelandangan tercetus apabila Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu kota berkenaan.

Beliau turut memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur dan diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.

Ahli Parlimen Putrajaya itu turut dilaporkan berkata tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah atau gelandangan serta pengemis di ibu negara.

Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk, terutamanya daripada aspek kebersihan.

Tiada ulasan: