Rabu, 9 Julai 2014

Anwar: Jangan lindungi jenayah kerana imej negara

Oleh Nazar Hashim


PENANTI : Kerajaan seharusnya menyedari imuniti yang ada pada diplomat bertujuan mempertahankan kepentingan negara bukannya mempertahankan kesalahan jenayah seseorang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian bagi mengulas tuduhan bahawa komennya terhadap kes ini mencemarkan imej negara.

Anwar menyampaikan sumbangan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Ramadan kepada dua tokoh agama terkenal iaitu Ustaz Sobri Md Arshad dan Ustaz Abdul Mutalib Maarof dari Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang.
Anwar menyampaikan sumbangan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Ramadan kepada dua tokoh agama terkenal iaitu Ustaz Sobri Md Arshad dan Ustaz Abdul Mutalib Maarof dari Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang.

“Sepertimana yang dinyatakan dalam Konvensyen Geneva imuniti tersebut adalah bagi mempertahankan hak negara, kerajaan perlu menyedari apa yang termaktub dalam konvensyen tersebut.

“Tindakan mempertahankan dan melindungi seseorang yang melakukan jenayah adalah suatu pencabulan terhadap undang-undang yang tidak sepatutnya berlaku apabila melibatkan negara,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama dengan penduduk Masjid Saidina Abu Bakar, Taman Guar Perahu, Penanti pada 4 Julai.

Dakwaan Putrajaya beliau memburukkan imej negara adalah tuduhan yang tidak benar kerana apa yang dinyatakan adalah bagi menjaga imej negara supaya tidak diberi persepsi negatif oleh negara luar seperti New Zealand.

Jelas Anwar lagi, surat yang diberikan oleh kerajaan kepada Kementerian Luar New Zealand supaya tuduhan terhadap bekas pembantu staf pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Pegawai Waran 2, Rizalman Ismail digugurkan adalah suatu tindakan yang boleh mencemarkan nama negara kerana ia melibatkan pencabulan ke atas wanita.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata persoalan yang ditimbulkan mengenai pertuduhan ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan, tanpa melindungi mereka yang boleh mencemarkan nama baik negara.

“Kenyataan tersebut bukannya memburukkan negara, sebaliknya kerajaan harus mengambil tindakan segera apabila pandangan diberikan dari membiarkan negara dipandang rendah sepertimana yang berlaku dalam kes kehilangan pesawat MH370.

“Kerajaan perlu menjawab soalan ini tanpa cuba melindungi mana-mana pihak,” tambahnya lagi.

Dalam majlis yang sama juga Anwar turut diberi kesempatan untuk menyampaikan sumbangan penghargaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sempena Ramadan kepada dua tokoh agama terkenal iaitu Ustaz Sobri Md Arshad dan Ustaz Abdul Mutalib Maarof dari Yayasan An-Nadhoh, Kubang Semang.

Sumbangan berupa barang keperluan harian seperti beras, gula dan sebagainya turut disampaikan kepada penduduk kariah masjid tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Tiada ulasan: