Khamis, 10 Julai 2014

62 syarikat serah zakat perniagaan RM2.3 juta kepada LZS

Oleh: LIZAWATI MADFA


SHAH ALAM, : Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada 62 buah syarikat berjumlah RM2.3 juta dalam satu majlis berbuka puasa, di sini, semalam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Moh Isa, berkata zakat perniagaan sememangnya memainkan peranan dalam kutipan zakat.

“Pada tahun lepas, zakat perniagaan menyumbang RM92 juta daripada RM517 juta zakat di Selangor.
_MG_7316“LZS mensasarkan peningkatan kutipan zakat perniagaan setiap tahun sesuai dengan potensi besar di negeri ini,” katanya.

Beliau berucap demikian di hadapan lebih 100 hadirin dalam Majlis Bayaran Zakat Perniagaan dan Iftar Ramadan yang diadakan di Hotel Blue Wave, di sini.

Hadir sama adalah Mufti Negeri, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ahmad Zaharin Mohd Saad dan wakil syarikat pembayar zakat perniagaan.

Syarikat Advance Air Traffic System (M) Sdn Bhd mendahului senarai syarikat pembayar dengan jumlah zakat RM353,782 diikuti anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dengan RM298,045 serta Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (RM 174,946).

Pada majlis sama, Adzib turut menyempurnakan agihan bantuan kepada tujuh individu berjumlah RM282,665.

_MG_7250Penerimanya adalah Nor Hafizah Hasan yang menerima bantuan perubatan kerapuhan tulang RM22,800, Muhammad Zaher Zahali (dialisis) RM31,920 dan Jaafar Abdul Razak (baik pulih rumah) RM21,500.

Sementara itu, baki empat penerima yang lain mendapat bantuan melanjutkan pengajian iaitu Nadzatul Athirah Ismail, Muhamad Arif Mohd Ajmain dan Nurhawa Mahani Bakin yang menerima RM64,000 masing-masing, manakala Siti Nor Aishah Jamhari menerima RM14,445.-NFN-

Tiada ulasan: