Ahad, 15 Jun 2014

Umno ‘U-Turn’ bahas Hudud, senjata makan tuan

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SHAH ALAM: Percubaan Umno untuk melagakan Pakatan Rakyat khususnya antara PAS dan DAP menggunakan isu Hudud tidak kesampaian apabila notis membahaskan isu Hudud di Dewan Negeri Selangor (DNS) diterima oleh Speaker, Hannah Yeo.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, keputusan Hannah membenarkan isu itu dibahaskan menyebabkan Umno terjerumus ke dalam perangkap ciptaan sendiri dan terpaksa manarik balik notis yang dimohon sebelum itu.

mole-Pas-Hudud-3“Mereka menjangkakan apabila mereka membawakan usul itu, Speaker akan menghalang dibahaskan dengan harapan mampu mencetuskan perbalahan PAS dengan DAP dan juga mungkin PKR dan membolehkan mereka menuduh PAS tunduk kepada DAP.

“Itulah perancangan mereka tetapi apabila Speaker setuju Hudud dibahaskan ini menimbulkan masalah kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana usul untuk membahaskan Hudud datang dari Umno sudah tentu menimbulkan kemarahan MCA, Parti Gerakan dan MIC. Apa yang mereka harapkan tidak berlaku,” kata Khalid ketika dihubungi Selangor Kini, di sini.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman pula memuji sikap keterbukaan Speaker DNS untuk membincangkan isu ini dalam persidangan DNS.

Bagaimanapun, beliau kesal apabila terdapat wakil rakyat yang mempermainkan proses DNS demi meraih publisiti dan agenda politik masing-masing.

“Sikap Umno seolah-olah mempermainkan proses usul ini harus dipandang serius oleh wakil rakyat; tolak tarik notis, kenapa tak fikir daripada awal.

“Saya yakin Umno menyalah gunakan proses DNS untuk kepentingan sendiri dan agenda politik. DNS harus melihat balik terhadap tindakan seperti ini,” kata Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras itu.

Kata Khairuddin lagi, ADUN dari Pakatan Rakyat (PR) Selangor khususnya PAS sendiri sudah bersedia membahaskan isu ini sekiranya usul ini dibahaskan dalam persidangan DNS.

“ADUN PR Selangor sudah cukup matang dan bersedia menghadapi cubaan Umno untuk memecah belahkan perpaduan antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Jadi sekiranya isu Hudud dibahaskan kami sudah bersedia membahaskannya secara fikiran terbuka tanpa menjejaskan kerjasama PR dan saya kira Umno yang lebih terjejas nanti,” kata Khairuddin.
EZY

Tiada ulasan: