Jumaat, 20 Jun 2014

Ulama PAS: Malaysia negara umat Islam

MALAYSIAKINI


 


Dewan Ulama PAS Pusat menyifatkan Malaysia adalah "negara umat Islam" kerana kuasa majoritinya diperintah orang Islam, sementara pelaksanaan Islam belum terpakai sepenuh di negara ini.

Dalam kenyataan medianya, Ketua Penerangan Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Malaysia juga tidak boleh ditafsirkan sebagai negara sekular sepenuhnya.

Ini kerana, katanya, terdapat peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan mengikut Perkara 121 dan di peringkat negeri melalui Mahkamah Syariah yang membuka jalan kepada pelaksanaan Islam.

"Justeru, isunya ialah bukan status negara sama ada Islam atau Sekular tetapi ialah usaha untuk memberi makna bagi Islam yang lengkap dan syumul bagi peruntukan perlembagaan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Ia menjadi kewajipan seluruh umat Islam sama ada yang telah berada di puncak kuasa atau sebagai rakyat yang mengundi memilih orang yang berkuasa untuk memberi makna yang signifikan untuk Islam di Malaysia," katanya.

Beliau mengulas perdebatan mengenai status Malaysia sebagai negara Islam atau sekular yang dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini.

Pinda perlembagaan

Mohd Khairuddin berkata kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan perlu diberikan makna sebenar menurut sudut pandang Islam dan cara hidup bernegara melalui dua cara.

Pertama, dengan cara meminda peruntukan undang-undang yang lebih jelas bagi memperkasakan kuasa Islam dalam perlembagaan agar mendasari semua dasar urustadbir negara, katanya.

"Kedua, menerusi keputusan hakim-hakim berjiwa Islam di Mahkamah yang memberi tafsiran yang betul terhadap peruntukan tersebut dalam kes-kes mahkamah seperti kes pemakaian serban di sekolah sebelum ini," katanya.

Sementara itu, MP Kuala Nerus itu berkata negara Islam pula meletakkan dasar ekonomi, sosial, politik, jenayah dan hubungan antarabangsa dengan merujuk kepada al-Quran dan Sunnah berdasarkan huraian ilmuwan Islam.

“Realiti amalan bernegara Malaysia hari ini sejak merdeka 1957 belum sampai ke tahap pelaksanaan Islam yang menyeluruh.

"Pemikiran urus tadbir dan perundangan penjajah masih menguasai minda politik dan pentadbiran meskipun pemerintah dan pentadbirnya adalah muslim.

Tiada ulasan: