Sabtu, 21 Jun 2014

Tilawah Al-Quran guna Braille usaha martabat OKU

Oleh : AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sentiasa prihatin terhadap peranan golongan kurang upaya (OKU) di negeri ini bagi memastikan hak dan penyertaan mereka disamaratakan dalam pembangunan masyarakat.

Terbaru, usaha bagi mengiktiraf golongan itu diperhebatkan melalui penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Braille Peringkat Kebangsaan yang menyaksikan golongan OKU daripada pelbagai peringkat umur tampil menunjukkan kemahiran mengalunkan ayat suci al-Quran.

tilawah al-quran braille 2 aExco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam ucapannya berkata Kerajaan Negeri sentiasa menghargai usaha memartabatkan golongan OKU terutama dari sudut pendidikan supaya mereka tidak terpinggir.

Beliau berkata langkah itu juga adalah sejajar dengan hasrat Selangor untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah pusat hab ilmu, maju dan berkebajikan.

“Kalau rakyat tiada ilmu, apalah erti kemajuan kepada negeri dan sampai bila-bila Selangor tidak akan dapat memenuhi visinya untuk menjadi negeri idaman.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai inisiatif daripada mana-mana pihak untuk memberi peluang kepada golongan cacat penglihatan ini dalam memartabatkan ilmu terutama al-Quran,” katanya.

braille 2 aBeliau turut memuji usaha penganjur majlis berkenaan iaitu KL Braille Resources yang menjadi syarikat pertama menerbitkan kitab suci al-Quran dalam tulisan braille.

Katanya usaha itu sekaligus memudahkan golongan cacat penglihatan untuk membaca al-Quran meskipun dilahirkan tidak sempurna.

“Mereka (KL Braille) membantu golongan yang kurang bernasib baik dan tidak membenarkan orang menggunakan alasan cacat penglihatan tidak mampu membaca al-Quran.

“Inilah modal insan yang kita mahukan di negeri Selangor malah saling membantu dari sudut ilmu sangat dituntut dalam Islam,” katanya lagi.

Seramai 12 peserta amatur dan berpengalaman dengan perbezaan latar belakang terlibat dalam pertandingan itu, majlis yang berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda itu menyaksikan penglibatan dari beberapa buah negeri antaranya Selangor, Johor, Terengganu, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Hadir sama, Pengarah Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad dan Pengarah Urusan KL Braille Resources, Datuk Mah Hassan Omar. EZY

Tiada ulasan: