Ahad, 15 Jun 2014

Pimpinan yang tidak berkepimpinan (bhg 2)



Saya menulis lagi sebagai sambungan kepada apa yang saya tulis dalam posting semalam dengan bahasa yang mudah seperti yang saya selalu lakukan. Bahasa yang mudah, tanpa istilah-istilah berat ini, diharapkan dapat memberikan kefahaman yang lebih tentang apa yang dimaksudkan dalam tulisan ini oleh ramai yang mahukan kebenaran dan kesedaran yang sejati.

Apabila sebuah rumah yang sudah reput di banyak sudutnya, kita tidak boleh memperbaikinya dengan hanya memperbaiki reputan itu dengan menampal dan menyambung yang putus sahaja. Sampai bila kita hendak membuang masa untuk memperbaiki rumah yang sudah reput di setiap sudut rumah itu?

Yang terbaik ialah dengan membina rumah baru diatas tapak yang sedia ada kerana tidak semua orang mempunyai dan boleh membina rumah baru ditapak yang lain, lebih-lebih lagi bagi politik negara kita yang sangat sofistikated ini.

Apabila dinding yang roboh itu diperbaiki, tidak lama lagi kita terpaksa memperbaiki pula lantai dan rasuk rumah yang juga sedang mereput itu. Sudah selesai memperbaiki lantai dan rasuk rumah yang reput itu selepas raya nanti terpaksa pula memperbaiki ‘ceiling’ yang sudah bocor pula, atau tiang sendi yang sudah dimakan anai-anai.

Itu sebabnya saya selalu memberikan pandangan dari tepian selama ini agar ada yang akan membuat ‘initiative’ untuk membina sebuah negara dan politik yang baru yang berlandaskan kepada tapak yang sedia ada. Maksud saya keadaan politik negara kita berlandaskan kepada kerjasama diantara kaum yang sihat dan bukannya memberikan tumpuan kepada kaumnya sendiri dan berteriak sebagai parti berbilang kaum di mana-mana.

Asas kerjasama diantara kaum itu telah lama wujud hasil dari perundingan pemimpin semua kaum terdahulu. Malahan kerjasama yang begitu utuh itulah yang menjayakan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman dengan pemimpin berbagai kaum di negara ini yang bertanggungjawab menyempurnakan pencapaian kemerdekaan negara. Sebelumnya kemerdekaan kita telah diperjuangkan oleh banyak pertubuhan dan pemimpin-pemimpinnya.

Perikatan telah membuatkan kaum Cina bersatu dibawah MCA, kaum India bersatu dibawah MIC dan kaum Melayu yang terbesar itu bersatu dibawah UMNO. Ketiga-tiga parti ini memperkuatkan penyatuan kaum masing-masing dan ketiga-tiga parti ini bekerjasama dalam satu pasukan dengan begitu baik sekali.

Pendeknya parti berbilang kaum itu sudah wujud lama dinegara ini. Ia wujud sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi dan semasa itu parti itu dinamakan PERIKATAN yang bersimbulkan kapal layar. Itulah parti berbilang kaum yang sebenarnya. Selepas berlakunya pertumpahan darah pada Mei 1969 dahulu bentuk rupa Perikatan ini telah diubah dan diperbaiki dengan menambah bilangan parti berbilang kaum itu dengan pertambahan parti-parti mengikut kaum dari Sabah dan Sarawak, sejak kewujudan Persekutuan Malaysia dahulu. Nama parti yang mengantikan Perikatan itu ialah Barisan Nasional dengan dianggotai oleh 14 parti-parti di dalamnya.

Penubuhan BN anjuran Tun Abd Razak ini telah difikirkan dengan begitu teliti seperti juga yang dilakukan dalam penubuhan Perikatan yang di usahakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra dan pemimpin berbagai kaum sebelum itu. Semua perkara diambil kira dan ia memakan masa yang agak lama sebelum ianya di wujudkan secara resmi.

Ia menambah baik dengan dasar-dasar BN yang menyelesaikan masalah-masalah yang sedikit sebanyak wujud dalam Perikatan sebelum itu. BN telah mendapat sokongan yang paling hebat semasa pilihanraya 1974 dengan sokongan yang padu dari semua kaum dan rakyat yang berbilang agama dan cara hidup itu. Semasa itulah DEB wujud sebagai dasar memperbaiki kelemahan sedikit sebanyak yang wujud dalam Perikatan dahulu.

Negara maju dengan pantas dan kelihatan perpaduan diantara kaum itu. Apa sahaja dasar yang dibentuk dan digubal mendapat sokongan semua pihak dan semua memahami yang perpaduan kaum merupakan ‘ultimate’ bagi negara kita.

Tidak ada bangsa yang mahu kelihatan negara rosak lagi, dan semua mengakui pengagihan kekayaan diantara kaum yang seimbang merupakan perjuangan semua kaum. Semua mengakui hakikat yang tidak akan aman negara ini jika ada kaum yang ketinggalan dalam semua bidang apatah lagi jika kaum itu adalah kaum majoriti negara ini. Matlamat kita ialah untuk membina bangsa-bangsa dalam negara, 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah'. Itulah ‘ultimate’ kita dan telah dipersetujui oleh semua kaum.

Banyak sebab kenapa BN begitu mendapat sokongan dari rakyat. Ia bukan setakat dasar yang ampuh yang digubal, tetapi yang lebih dari segala-galanya ialah sikap dan nilai pimpinan.  Yang memimpin kerajaan BN itu, terutamanya semasa zaman pencipta BN itu, Tun Razak dan panggantinya Tun Hussein Onn. Rakyat nampak dengan jelas kejujuran dan niat pimpinan yang benar-benar ikhlas untuk mencapai apa yang di idamkan dan dengan dasar gubalan semasa itu.

Di zaman Tun Razak negara mencapai begitu pesat pembangun dengan initiatif-initiatif yang berkesan yang di berikan kepada pimpinan didikan beliau untuk melaksanakan dasar secara organik dan nampak hasilnya secara jelas. Tun Hussein meneruskan segala dasar yang telah digubal sebelumnya dengan penuh dedikasi dan tidak melakukan tugasan beliau bersandarkan kepada kehendak peribadi beliau semata-mata.

Perdana Menteri semasa itu (Razak dan Hussein) tidak campur tangan dalam urusan perlaksanaan dasar, diberikan tanggungjawab kepada sesiapa yang telah dipilih untuk melaksanakannya. Kepada sesiapa yang diberikan tanggungjawab itu pula tidak akan menyalahgunakan kepercayaan pimpinan kerana mereka bersama-sama ‘hand-in-glove’ dengan pucuk pimpinan bagi mempastikan segala dasar itu dilaksanakan dengan sempurna.

Semasa Perdana Menteri Razak dan Hussein mentadbir negara, tugasan perlaksana diberikan tanggungjawab dan kepercayaan dengan parameter kuasa yang luas dan Perdana Menteri tidak perlu masuk campur dengan tugasan harian pemimpin yang diberikan tanggungjawab negara itu. Semasa itu tidak timbul isu mereka yang bertanggungjawab itu melakukan pencemaran terhadap tanggungjawab yang diberikan kepada mereka.

Tengku Razaleigh sebagai pemimpin (planner) penting dalam mencadang dan melaksanakan dasar negara semasa itu diberikan kepercayaan dengan parameter kuasa yang luas bagi melaksanakan sesuatu dasar untuk kebaikan negara.  Ini hanya boleh dilakukan kerana semasa itu pimpinan semua peringkat fokus untuk melihat pembangunan negara, khususnya dalam bidang ‘social and economic engineering’ bagi pencapaian matlamat dan ‘ultimate’ iaitu pencapaian penyatuan kaum-kaum dalam negara yang maju.

Jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan oleh TR seperti Jawatankuasa Pelaburan Kabinet yang sangat penting semasa itu telah berfungsi dengan begitu telus dan ia terlaksana dengan baik tanpa banyak masalah sampingan.

Dasar perlaksanaan memindahkan kekayaan negara kepada Bumiputra yang di koordinasikan oleh Jabatan Koordinasi dan Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri misalnya, adalah hasil dari perancangan yang teliti dan rakyat masih merasakan nikmat perancangan itu sehingga hari ini.

Tiada ulasan: