diesel


PUTRAJAYA - Permohonan lesen pemborong minyak diesel dan petrol dan pembukaan stesen minyak baharu semua jenama dibekukan selama enam bulan mulai esok sehingga Disember ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata langkah itu merupakan usaha bagi memerangi kegiatan penyelewengan.

Beliau berkata menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek bersetuju dengan pelaksanaan sekatan sementara itu.

"Pembekuan selama enam bulan ini adalah bagi permohonan lesen oleh mana-mana pihak untuk menjadi pemborong serta menyimpan minyak diesel dan petrol bagi kegunaan industri dan domestik, termasuk bagi kegunaan kapal.

Ini juga termasuk bagi permohonan membuka stesen minyak baharu untuk semua jenama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alias berkata terdapat elemen penyelewengan dalam rantaian penyaluran minyak diesel dan petrol bersubsidi, yang bermula daripada depoh simpanan, stesen minyak hinggalah pemborong, dan kementerian percaya terdapat unsur pakatan antara pihak terbabit.

Dalam tempoh pembekuan itu, kementerian akan mengkaji mekanisme terbaik bagi mengatasi masalah ketirisan di peringkat rantaian dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung langkah wajar bagi membendung kegiatan penyelewengan.

Alias berkata lesen pemborong dan pengusaha stesen minyak yang didapati bersubahat dalam kegiatan penyelewengan akan digantung serta dibatalkan serta-merta.

"Pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mereka yang jelas mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan," katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata had kuota bagi stesen minyak berhampiran sempadan seperti di Johor, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak akan turut dilaksana selepas Kelantan.

"Ini bagi menyekat berlakunya pembelian bahan api secara berlebihan yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti penyelewengan. Pelaksanaanya akan dilakukan dalam masa terdekat," katanya.

Alias berkata Ops Titik, yang dilancar pada 15 Mei lepas, berjaya mematahkan 124 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM5,391,278.03.

Beliau berkata Ops Titik adalah kesinambungan Operasi Khas Diesel yang bertumpu di pelabuhan utama seperti Kuantan, Pelabuhan Klang serta negeri  berhampiran sempadan seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang dengan nilai rampasan lebih RM15 juta selain pembekuan akaun berjumlah hampir RM40 juta.
 
Alias berkata kegiatan penyelwengan dikesan didalangi secara bersindiket dan terancang oleh pihak tidak bertanggungjawab selain sering dilakukan bagi mengaut keuntungan dengan nilai jutaan ringgit hasil penyelewengan itu.
 
Katanya, KPDNKK memandang serius serta sentiasa mempergiat usaha membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan diesel serta petrol bersubsidi di pasaran kerana ia merugikan negara. - Bernama