Rabu, 11 Jun 2014

Peluang Pakatan muhasabah diri

 WARTA UTARA

 
Kekalahan DAP dan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil di Teluk Intan tempoh hari memang agak mengejutkan, memandangkan Pakatan telah memenangi kerusi parlimen itu dengan selesa dalam dua pilihan raya umum yang lepas.
 
Mungkin ada yang mula menyangka yang tsunami yang bermula pada pilihan raya umum yang lalu telah berakhir di Teluk Intan, dan memberi petanda kurang baik tentang Pilihan Raya Umum ke-14

Tetapi setiap yang berlaku itu ada hikmahnya, dan kekalahan di Teluk Intan tempoh hari wajar diambil pelajaran berguna daripadanya, dan bukan menyalahkan parti  lawan yang turut sama menyumbang tenaga

Kekalahan di Teluk Intan, dalam pilihan raya kecil yang sepatutnya berperanan sebagai satu tolakan yang boleh menguatkan momentum menuju PRU 14 seeloknya diperhalusi oleh semua parti terlibat, untuk melihat di mana ruang yang boleh diperbaiki.

Faktor-faktor seperti pengundi luar tidak pulang mengundi, kempen (dan juga calon) Barisan Nasional yang lebih cekap dan berkesan, faktor isu-isu yang menjejaskan kerjasama sesama anggota Pakatan dan banyak lagi perlu disiasat dan dinilai dengan jujur.

Dalam keadaan PRU 14 masih jauh, masih banyak masa yang boleh digunakan untuk berhenti sebentar dan mengambil masa untuk menyusun dan mengukuhkan semula kekuatan dalaman parti masing-masing dan kerjasama serta persefahaman sesama parti Pakatan.

Selain Teluk Intan, sejak beberapa bulan lalu, banyak isu sama ada dalaman atau melibatkan serangan dari luar melanda parti- parti Pakatan.

Pilihan raya parti Keadilan, isu kerajaan negeri Selangor, hudud yang menyentuh sensitiviti PAS dan DAP antaranya telah memberikan peluang kepada parti lawan Umno dan BN meningkatkan serangan terhadap Pakatan di media.

Isu hudud menyaksikan kedua-dua PAS dan DAP bertindak dengan cara yang mudah dibaca lawan, dengan berbalas kenyataan di media.

Semua ini cabaran dan tribulasi yang sukar kepada Pakatan, tetapi mendedahkan Pakatan dengan pengalaman baharu untuk dipelajari

Hal ini juga wajar dinilai secara bersama dan dibina kesepakatan untuk diuruskan dengan cara yang lebih berkesan dan bukan secara sembarangan dan bersendirian, lebih-lebih lagi dalam isu yang melibatkan keutuhan dan perpaduan Pakatan.

Selepas dua pilihan raya kecil parlimen dilalui Pakatan, seharusnya pada masa selepas setahun PRU 13, banyak yang telah dilalui yang perlu dimuhasabah dan dikongsi untuk penilaian dan pelajaran bersama, termasuk melibatkan pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri.

Pakatan perlu mengambil peluang muhasabah ini untuk membina kesepakatan dan kerjasama yang lebih rapat dan kukuh.

Tiada ulasan: