Khamis, 26 Jun 2014

Muhyiddin akui Kabinet besar tetapi ia bukan isu, katanya

OLEH MD IZWAN

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata saiz Kabinet yang besar tidak dapat dielakkan, khususnya selepas MCA mahu menerima semula jawatan jemaah menteri serta kemasukkan semula Gerakan dalam pentadbiran. – Gambar fail, 26 Jun, 2014.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin berkata saiz Kabinet yang besar tidak dapat dielakkan, khususnya selepas MCA mahu menerima semula jawatan jemaah menteri serta kemasukkan semula Gerakan dalam pentadbiran. – Gambar fail


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin mengakui saiz Kabinet Malaysia memang besar tetapi bagi beliau, ia bukan satu isu sebaliknya menegaskan keberkesanan Jemaah Menteri yang lebih penting.

"Ia memang besar, perdana menteri (Datuk Seri Najib Razak) pun akui.

 "Tetapi yang penting adalah keberkesanan, menteri dan jemaah yag dipilih perlu buktikan keberkesanan mereka," kata Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) semasa sidang media selepas merasmikan kad pelajar, i-Kad di Damansara.

Muhyiddin berkata saiz Kabinet yang besar tidak dapat dielakkan, khususnya selepas MCA mahu menerima semula jawatan jemaah menteri serta kemasukkan semula Gerakan dalam pentadbiran.

 "Ia tidak dapat dielakkan, sebab keadaan selepas pilihan raya dahulu kita tubuhkan Kabinet tanpa MCA dan Gerakan," kata beliau.

Menurut Muhyiddin lagi, kemasukan MCA dan Gerakan membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) mementingkan perkongsian kuasa dengan kaum lain.

"Seperti sejarah lalu, kita mahu perwakilan daripada semua kaum dalam Kabinet. "Dengan keputusan ini, kita mengembalikan perkongsian kuasa dengan wakil kaum lain," kata beliau.

Muhyiddin juga berharap kedua-dua pemimpin daripada parti komponen tersebut dapat memainkan peranan, khususnya dalam menjalankan tanggungjawab dan mengembalikan sokongan kepada BN.

"Saya harap kemasukan ini dapat mengukuhkan kedudukan MCA dan Gerakan," kata beliau.

Semalam, Najib mengumumkan penyusunan semula Kabinet dengan memasukkan pemimpin MCA dan Gerakan ke dalam Kabinetnya.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik sebagai menteri pengangkutan, menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sementara Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Najib turut melantik Naib Presiden MCA Senator Lee Chee Leong menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Chua Tee Yong menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dan Senator Datin Paduka Chew Mei Fun dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.

Bagaimanapun, pengkritik membidas langkah tersebut memandangkan saiz yang terlalu besar dan mempersoalkan keperluan penyusunan tersebut

Tiada ulasan: