Tuan Lay masih berharap  anaknya akan pulang dengan selamat. Tuan Lay masih berharap anaknya akan pulang dengan selamat.


ALOR SETAR - Selepas 100 hari kehilangan pesawat MH370 sejak 8 Mac lalu, keluarga mangsa terlibat dalam tragedi itu tetap mengharap keajaiban sekali gus membawa kepada penemuan ahli keluarga mereka.

Bagi keluarga Chew Kar Moi, 31, walaupun ditawarkan wang pendahuluan pampasan pihak insurans, mereka menyifatkan wang itu tidak dapat mengubati kesedihan yang terpaksa ditanggung.

Kakak kepada Kar Moi, Chew Kar Hui, 33, berkata, mereka sekeluarga masih menaruh harapan tinggi agar Kar Moi pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat.

Menurutnya, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak menerima wang pampasan yang ditawarkan pihak insurans penerbangan selagi tiada sebarang bukti atau penemuan pesawat berkenaan.

“Apa guna kalau kami terima wang pampasan itu sekiranya adik saya masih tidak ditemui hingga sekarang, malah bukti mengenai kejadian masih tidak ditemui.

“Sebelum ini memang kami diberi penerangan mengenai wang pampasan oleh MAS (Malaysia Airlines) dan kami sepakat untuk tidak menerima pampasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Kar Hui berkata, ibunya, Tan Tuan Lay, 53, sering bermimpikan Kar Moi pulang ke rumah dan menjalani kehidupan bersama mereka seperti sebelum ini.

“Apa yang mampu kami lakukan hanya berdoa dan sembahyang setiap hari tanpa berputus asa dengan harapan dia akan ditemui dalam keadaan selamat walau di mana sekali pun,” katanya.

Kar Moi, seorang kakitangan Maybank pada 8 Mac lalu berlepas dengan pesawat MH370 untuk menghadiri satu kursus di Beijing.

Sementara itu, cubaan Sinar Harian menghubungi keluarga seorang lagi mangsa iaitu Mohamad Sofuan Ibrahim, 33, gagal kerana mereka enggan memberi kenyataan kepada media.

Bagaimanapun bapanya, Ibrahim Abd Razak, berkata, sehingga kini beliau tidak menerima sebarang tawaran wang pampasan berhubung kejadian itu.

Mohamad Sofuan yang juga anak lelaki tunggal daripada lima beradik sebelum ini bertugas di Istana Negara.

Beliau berlepas ke Beijing kerana ditugaskan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang ditempatkan di pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) di China.