Sabtu, 21 Jun 2014

Menanti 'durian runtuh' di Teluk Intan

RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS 


Bahang selepas berakhir Pilihan Raya Kecil P076 Parlimen Kawasan Teluk Intan masih dirasai berikutan kematian penyandangnya mendiang Seah Leong Peng yang meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 1 Mei 2014 yang lalu.

7 Mei 2014, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan pada 31 Mei 2014 untuk hari mengundi manakala hari penamaan calon pada 19 Mei 2014 dan 27 Mei 2014 untuk hari pengundian awal kepada pemilih yang layak.

Pertembungan di Teluk Intan antara Parti DAP dan Parti Gerakan dimana DAP meletak Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kawasan Gelang Patah, Lim Kit Siang dan manakala Barisan Nasional (BN) meletak Presiden Parti Gerakan.

Pada 17 Mei 2014, kedua-dua pihak telah membuat pengumuman calon-calon mereka dimana Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon DAP dan Datuk Mah Siew Keong sebagai calon BN walaupun terdapat empat borang telah diambil.

Penduduk Teluk Intan tentu ingat tentang projek mega lebuhraya bernilai RM5 Bilion antara Taiping dengan Banting yang turut melalui jajaran ke Teluk Intan yang telah dibentangkan di dalam Belanjawan 2012 yang telah dilancarkan.

Pelancaran dilakukan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengetuai Jentera BN bagi memastikan kemenangan Datuk Mah untuk cubaan kali kedua telah beberapa kali bersama rakyat di Teluk Intan.

Sebelum ini, Presiden Parti PPP Datuk Seri Dr M. Kayveas yang telah bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri di Teluk Intan Kawasan Pasir Berdamar telah tewas pada Pilihan Raya Umum ke – 13, 5 Mei 2013 yang lalu.

Datuk Mah, secara ‘solo’ pada 26 Mei 2014 yang lalu telah membentangkan Manifestonya untuk ditawarkan kepada penduduk Teluk Intan tanpa kehadiran pimpinan utama peringkat Nasional mahunpun dari peringkat Negeri Perak.

Antara tawaran-tawarannya adalah berusaha menjadikan ikon Menara Jam Condong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, menjadikan hab pertanian moden, meningkatkan pelaburan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda.

Selain itu untuk menjadikan Teluk Intan sebagai pusat makanan di Hilir Perak, membangunkan projek pembangunan bersepadu tepi sungai dan membina kompleks sukan bersepadu untuk golongan belia antara tawarannya itu.

Beliau juga akan memastikan lebih banyak padang futsal di Teluk Intan, selain akan menyelesaikan masalah setempat seperti perparitan dan lampu jalan di sekitar Teluk Intan sebelum beliau diumumkan menang sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula pada 22 Mei 2013 bersedia membantu untuk menambah baik kemudahan jalur lebar di Teluk Intan seperti yang dihasratkan golongan muda di kawasan itu.

Manakala Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula menjanjikan lebih banyak pembangunan akan didatangkan ke Teluk Intan jika BN menang.

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri pada 24 Mei 2014 akan menaja uniform baru bagi 8,639 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang layak mengundi di Teluk Intan jika Datuk Mah menang.

Pada 29 Mei 2014  pula Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN mengumumkan untuk melantik Datuk Mah sebagai menteri jika Presiden Parti Gerakan itu menang.

Dan pada 30 Mei 2014 pula Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menjelaskan akan menyelesaikan masalah tempat pembakaran mayat kaum India dan akan membantu sekolah Tamil jika BN menang di Teluk Intan.

Banyak janji dan akujanji kali ini BN tawarkan, tidak termasuk tawaran manifesto dan beberapa ‘projek mee segera’ yang dilimpahkan di Teluk Intan dan sudah tentu antaranya adalah jalan-jalan baru semasa tempoh berkempen.

Akhirnya, julung-julung kalinya hadirlah Datuk Seri Najib ke Teluk Intan dengan beberapa pengumuman baru yang amat mengejutkan seperti janji penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Teluk Intan.

Bagi tujuan itu, kampus tersebut akan menempatkan 1,000 orang guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal yang akan siap pada 14 Jun 2018 iaitu dalam tempoh empat tahun yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib.

Benar, Datuk Mah juga telah menjanjikan penubuhan universiti baru tetapi bukannya pula Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang kebiasaannya menjadi lubuk kroni-kroni tertentu terutamanya sudah berakhir perkara penting.

Satu lagi janji seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Tengku Adnan tentang pembangunan dan seperti yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib iaitu pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) termasuk peruntukan RM5 Juta bagi projek pembangunan di situ.

Projek PR1MA di Teluk Intan ini akan melibatkan kerjasama antara Perbadanan PR1MA Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Berhad (MOCCIS).

Bagi projek PR1MA sebagai permulaan sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina dengan kawasan seluas 202 hektar yang dijangka dijual pada harga tidak melebihi RM150,00 seunit dan siap dalam tempoh tiga tahun pada 14 Jun 2017.

Baru dua janji yang telah diumumkan dan banyak lagi janji yang menanti penduduk Teluk Intan dalam tempoh berakhir 5 Mei 2018 yang akan datang dengan Ahli Parlimen baru yang akan menjadi Menteri ini.

Marilah kita sama-sama menunggu Kementerian apakah yang akan diisi oleh Datuk Mah nanti dan marilah sama-sama kita menunggu janji turun padang untuk melihat masalah longkang sebelum tiga tahun yang akan datang.

Dengan perasaan seronok dan gembira penduduk Teluk Intan, kami juga menumpang bersama atas limpahan yang diterima seperti menunggu ‘durian runtuh’ akan projek-projek mega tersebut nanti.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Perak yang juga Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar

Tiada ulasan: