Rabu, 11 Jun 2014

Malek Hussein Tutup Mulut Dakwaan Disogok

Abdul Malek Hussein.
 
 
 
PETALING JAYA:Pengerusi Panel Bantahan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Malek Hussein berdolak-dalik mengenai dakwaan beliau menolak rasuah yang diberikan seorang calon dari kem Mohamed Azmin Ali.


Beliau yang enggan menjawab pertanyaan mengenai dakwaan tersebut sebaliknya berkata, terlalu banyak isu bantahan seperti itu yang dipetik daripada blog.

"Yang mana? Ada banyak isu bantahan, ada juga isu-isu seperti ini yang dipetik daripada blog," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Rabu.

Terdahulu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard membuat aduan bertulis kepada Lembaga Disiplin mengenai dakwaan Abdul Malek menolak rasuah yang diberikan calon Naib Presiden, Dr Xavier Jayakumar dan 'bosnya' selepas beliau digantung keahliannya.

Menurut Badrul Hisham, berdasarkan khabar angin, ‘bos’ yang dimaksudkan itu berkemungkinan  Azmin yang hampir pasti mempertahankan kerusi Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.

Sebelum ini, sememangnya diketahui bahawa Xavier berada dalam kem ‘Keadilan Raya’ yang diketuai  Azmin.

Ketika ditanya mengenai aduan bertulis tersebut, Abdul Malek berkata, panel bantahan masih belum dimaklumkan mengenai isi kandungan surat berkenaan.


"Kami difahamkan aduan tersebut telah diserahkan kepada Lembaga Disiplin tapi kami belum dimaklumkan mengenainya sehingga hari ini," katanya.

Justeru, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut sehingga membaca sendiri aduan bertulis berkenaan.

"Kami akan meneliti aduan tersebut selepas dimaklumkan mengenainya. Selepas itu baharulah kami akan membuat tindakan susulan," katanya.

Tiada ulasan: