Jumaat, 20 Jun 2014

Lulus lesen kasino, kerajaan terdesak tambah pendapatan

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menyifatkan kerajaan terdesak apabila meluluskan lesen untuk membuka pusat kasino kedua terbesar di Malaysia.

Katanya, keputusan itu diambil semata-mata untuk menambahkan hasil pendapatan negara, tanpa memikirkan masalah sosial kepada masyarakakat.

“Apakah kerajaan BN begitu terdesak sehingga terpaksa meluluskan lesen judi tambahan, semata-mata untuk meningkatkan hasil pendapatan negara?

“Sedangkan perjudian ini banyak menimbulkan masalah sosial di kalangan masyarakat, bukan sahaja di kalangan muslim tetapi juga orang bukan Islam,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen, semalam.

Baru-baru ini, majalah Business Times In Malaysia melaporkan, pihak berkuasa meluluskan pelan pembangunan pusat kasino tersebut di Berjaya Resort, Berjaya Hills Pahang.

Ia dibangunkan oleh syarikat Berjaya Corperations milik Tan Sri Vincent Tan yang mempunyai pegangan terbesar dalam syarikat berkenaan.

Pusat kasino ini akan menjadi pusat perjudian kedua terbesar selepas pusat kasino di Genting Highlands yang dimiliki oleh Genting Berhad.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, perkara ini ditentang Pakatan Rakyat, termasuk DAP apabila kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak satu ketika dahulu.

“Perjudian ini memberi impak negatif dalam masyarakat dan kerajaan tidak harus melihat soal meningkatkan pendapatan negara sahaja, tetapi perlu meneliti impak negatif dalam masyarakat,” ujarnya.

Ketika ditanya apakah kelulusan membina kasino berkenaan menunjukkan amalan kronisme, Azmin berkata, umum mengetahui hubungan Vincent Tan dengan pemerintah dalam banyak perkara.

“Ini adalah isu yang dibangkitkan iaitu soal kapital kronisme yang makin menular dalam BN, ia sebenarnya tidak akan mengembangkan pertumbuhan ekonomi selagi amalan ini diteruskan,” katanya.

Tiada ulasan: