Sabtu, 21 Jun 2014

Kolam tadahan banjir bakal siap sebelum September 2014

 
 
Dr Xavier JeyakumarKLANG: ADUN Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar menjangkakan kerja pembinaan kolam tadahan banjir di Bandar Botanic bakal siap pada September 2014.

Katanya, kolam tadahan yang dibina ini mampu menampung 80,000m3 air dan 63% kerja telah pun selesai setakat ini.

Walau bagaimanapun, katanya, perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya akan diadakan dalam masa terdekat memandangkan terdapat sedikit masalah di longkang Jalan Kebun Nanas.

“Saya percaya dengan adanya kolam tadahan ini, masalah banjir yang berlaku sejak 15 tahun lepas akan berakhir. Masalah banjir yang sering berlaku di sekitar kawasan Bandar Puteri dan Taman Sentosa ini disebabkan keadaan longkang yang kecil dan tidak dapat menampung air tadahan ketika musim hujan,” katanya selepas melawat tapak kawasan tadahan bersama  Pegawai Majlis Perbandakan Kelang (MPK), Mohd Noor Mahmud dan Hijaz Sanusi yang turut disertai pegawai Gamuda.

Tambahnya, berhubung dengan isu pembinaan kolam tadahan air ini, beliau berharap agar kos penyelenggaraan dapat ditanggung oleh JKR ataupun Tenaga Nasional Berhad memandangkan kabel 33kw milik TNB berada di kawasan tersebut.

“Sebelum musim hujan tiba, saya berharap kerja pembinaan kolam tadahan ini dapat disiapkan. Kolam ni adalah inisiatif untuk atasi banjir demi keselesaan penduduk Taman Sentosa,” katanya.

Tiada ulasan: