Rabu, 11 Jun 2014

Kes Mejar Zaidi: Saksi mengaku diarah padam video

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Mejar Zaidi Ahmad hari ini meyaksikan seorang saksi, Sarjan Mohd Khairul Nizam Ishak mengaku diarah untuk memadamkan rakaman sidang akhbar yang dibuat Zaidi di dalam telefon bimbitnya.

Mohd Khairul berkata, beliau bertindak memadam rakaman sidang akhbar Zaidi berhubung dakwat kekal itu selepas diarahkan berbuat demikian oleh Pengarah Jabatan Marsyal Provos TUDM, Leftenan Kolonel Mohammad Rosli Yaakob.

Menjawab soalan peguam bela Mohamed Hanipa Maidin, Mohd Khairul bagaimanapun tidak bersetuju tindakannya memadamkan bukti rakaman itu adalah satu kesalahan.

Beliau berkata tindakannya itu sebagai mengikut arahan pihak atasan agar ianya tidak tersebar.

Mohd Khairul juga memaklumkan bahawa beliau dengan seorang lagi rakan Mohd Zuradi Muchtar diarah untuk mengekori Zaidi pada 1 Mei tahun lalu itu.

Beliau turut memaklumkan telah mengekori Zaidi membuat laporan polis di balai polis IPD Kepala Batas hari sama.

Sementara itu, The Malaysian Insider melaporkan, ketika disoal balas, Mohd Khairul juga mengaku isu dakwat kekal tidak berada dalam bidang kuasa pasukan tentera atau mana-mana agensinya.

Beliau juga bersetuju dengan Mohamed Hanipa bahawa tugasan yang diberikan kepadanya pada 1 Mei untuk memerhati Zaidi bukan tugasan rasmi.

Mohd Khairul bersetuju laporan polis dan sidang akhbar yang dibuat oleh Zaidi dan isu dakwat kekal tidak berkait dengan tugas serta tanggungjawab tertuduh di TUDM.

Perbicaran dibuat di hadapan lima hakim diketuai Kolonel Saadon Ahmad.

Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 51 Angkatan Tentera 1972 berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Mahkamah akan bersambung semula esok.

Tiada ulasan: