Ahad, 22 Jun 2014

Jom Durian VII kumpul dana RM130,000, penuhi impian pesakit kritikal

Oleh: AFIX REDZUAN


SUBANG- Penganjuran Jom Durian VII, ‘Makan Semua Anda Mahu’ berjaya mengutip dana RM130,000 bagi membantu Persatuan Impian Kanak-kanak (CWS) Malaysia.

Presidennya, Tan Sri Dr Ramon Navaratam, berkata dana terkumpul itu hanya sebahagian daripada jumlah yang diperlukan dan masih belum mencukupi untuk memenuhi impian kanak-kanak yang menghidapi penyakit kritikal di seluruh negara bagi tahun mendatang.

“Persatuan terharu dengan sokongan yang diterima daripada masyarakat dan sektor korporat untuk penganjuran Jom Durian VII yang memasuki tahun ketujuh.

DSC_4800“Bagaimanapun, dana ini masih belum mencukupi buat kami memenuhi impian lebih ramai kanak-kanak di seluruh negara,” katanya pada majlis pelancarannya, di The Summit Subang USJ, di sini, hari ini.

Navaratnam berharap lebih ramai orang awam dan syarikat tampil membantu persatuan berkenaan.
Jom Durian VII ditaja sepenuhnya The Summit Subang USJ dengan kerjasama CWS Malaysia dan akhbar komuniti Subang Jaya, SJ Echo.

Penganjuran kali ketujuh itu adalah acara makan kebajikan terbesar di Malaysia.

Lebih 2,000 pengunjung hadir bagi menikmati ‘Raja Buah’ dan tujuh tan buah durian disediakan, yang mana pengunjung hanya perlu membayar RM20 untuk menikmati durian selama sejam.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hanna Yeoh gembira acara itu diadakan di kawasan beliau dan mengakui terbabit dalam usaha memenuhi impian kanak-kanak terbabit.

DSC_4651Katanya, program itu bukan hanya berkisarkan durian sebaliknya keprihatinan masyarakat dalam memenuhi impian kanak-kanak itu.

“Saya bangga untuk bersama mereka. Makan durian adalah budaya Malaysia dan diharapkan ia boleh dijadikan acara menarik pelancong,” katanya.

CWS Malaysia sudah memenuhi lebih 400 impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal sejak enam tahun lalu dengan pelaburan sumbangan bernilai RM2 juta untuk mengembalikan senyuman kanak-kanak di seluruh Malaysia.-NFN

Tiada ulasan: