Sabtu, 14 Jun 2014

Isu penjagaan anak: Rohani bidas IGP

MALAYSIAKINI


 


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim membidas cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menempatkan kanak-kanak yang berdepan pertikaian hak penjagaan supaya ditempatkan di pusat penjagaan.

Beliau menegaskan semua pihak perlu mematuhi keputusan terbaru yang ditetapkan Mahkamah Rayuan dengan merujuk kepada kes pertikaian hak penjagaan anak bagi pasangan S Deepa dan Izwan Abdullah.

"Kes ini dah dipulangkan balik ke mahkamah. Ketua polis negara pun dah tak ada kena mengena dah. Kes ini berbalik kepada mahkamah.

"Ia tertakluk kepada keputusan yang paling baru," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Bapa peringkat Kebangsaan di Midvalley, di ibu negara hari ini.

Rohani menjawab soalan pemberita mengenai pendirian Khalid bahawa polis akan menempatkan anak dalam kes hak penjagaan membabitkan mahkamah syariah dan sivil, di pusat penjagaan sebagai jalan tengah.

Bulan lalu Mahkamah Rayuan menolak permohonan N Viran atau Izwan Abdullah, untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Seremban yang memberi hak penjagaan dua anaknya kepada ibu mereka S Deepa yang beragama Hindu.

Mengulas lanjut, Rohani berkata kedua-dua anak mereka itu mesti diletakkan bawah jagaan ibu bapa mereka sehingga Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang wajar mengenai kes itu.

Patuh keputusan mahkamah

"Kanak-kanak itu sekarang, seorang dengan ibu, seorang (lagi) dengan bapa. Jadi biar mereka tinggal sehingga Mahkamah Persekutuan buat keputusan.

"Saya harap setelah mahkamah buat keputusan sekali lagi, ikutlah. Itulah saranan kami," katanya sambil mengulangi pendirian bahawa institusi penjagaan kanak-kanak sebagai tempat terakhir bagi kanak-kanak itu.

Malah, katanya, kementerian pula sedia menawarkan perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak dan ibu bapa yang terlibat.

"Peranan kami pulak kalau dihantar ke institusi jagaan kanak-kanak, bagi kami, ini adalah tempat terakhir.

"Kami nak anak ini bersama ibu dan ayah mereka. Tetapi apa yang kami boleh tawarkan, kami buat kaunseling untuk kanak-kanak dan ibu bapa.

"Kami tunggu keputusan mahkamah tapi jika memerlukan anak itu berada di pusat jagaan (kementerian akur). Sekarang kita tunggu keputusan dan berharap kes ini segera (diselesaikan)," katanya.

Tiada ulasan: