Peguam Cara & Bela Mahkamah Tinggi, Datuk Salehuddin Saidin menegaskan Bible berbahasa Melayui dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya boleh dilupuskan sekiranya mendapat arahan peguam negara atau mahkamah majistret. Peguam Cara & Bela Mahkamah Tinggi, Datuk Salehuddin Saidin menegaskan Bible berbahasa Melayui dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya boleh dilupuskan sekiranya mendapat arahan peguam negara atau mahkamah majistret.


SHAH ALAM - Kitab Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hanya boleh dilupuskan sekiranya Peguam Negara atau mahkamah mengeluarkan arahan berbuat demikian.

Peguam Cara & Bela Mahkamah Tinggi, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pemulangan bible sebagai barang kes itu boleh dibuat dalam dua bentuk sama ada diserahkan kepada Jais untuk pelupusan atau dikembalikan kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM).

"Mahkamah boleh buat keputusan sama ada hendak melupus dengan cara menyerahkan kepada Jais atau melupuskan dengan cara memulangkan kepada PBM.

"Peguam Negara tidak kata pulangkan barang kes kepada PBM tetapi dia kata kena pulangkan ikut undang-undang," katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis yang mengarahkan Jais segera merujuk kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada bible tersebut dipulang atau dilupuskan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya menyebut, baginda berhasrat agar keputusan berkenaan dilaksanakan mengikut proses undang-undang.

Mengulas lanjut, Salehuddin menambah, bagaimanapun arahan pelupusan itu hanya boleh dikeluarkan jika kerajaan negeri Selangor membuat rujukan perkara tersebut kepada Mahkamah Majistret atau peguam negara.

"Di Mahkamah nanti, kedua-dua pihak (Jais dan PBM) boleh membuat bantahan, atau Jais boleh minta mahkamah untuk serahkan kepada mereka untuk pelupusan.

"PBM boleh minta ke mahkamah untuk dipulangkan kepada mereka kerana tidak berkaitan dengan kes," jelasnya.

Menurutnya lagi, mana-mana pihak tidak boleh memaksa kerajaan negeri untuk merujuk barang kes tersebut dengan mahkamah sama ada untuk pelupusan atau memulangkan kepada pemilik asal.

"Kalau PKR (kerajaan negeri) tidak mahu buat rujukan ke mahkamah, itu kuasa mereka, kita tidak boleh paksa kalau mereka tak nak buat rujukan.

"Mengikut undang-undang, kerajaan negeri patut membuat rujukan, selepas itu Jais kena serah balik fail (kes) kepada pihak pendakwaraya untuk dirujuk barang kes ini ke mahkamah," katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam turut berkata, penasihat undang-undang Selangor akan bertemu Peguam Negara untuk mendapatkan pandangannya tentang status bible tersebut selaras dengan titah Sultan Selangor.

Katanya, penasihat undang-undang negeri tiada kedudukan undang-undang untuk membawa pertikaian status bible tersebut ke mahkamah.