Sallehen Mukhyi  
Sallehen Mukhyi
 

PERANCANGAN pelaksanaan hukum hudud di Selangor perlu dibincangkan dengan Pakatan Rakyat (PR) memandangkan negeri ini dinaungi tiga rakan pakatan tidak seperti Kelantan yang dimonopoli Pas.

Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, Selangor negeri milik Pakatan Rakyat dengan Pas hanya menguasai 15 kerusi berbanding rakan-rakan lain.

“15 kerusi tidak boleh bentuk urus tadbir bersendirian. Jadi, dalam konteks Selangor, apa-apa pendirian kita akan bincang dengan dalaman PR.

 “Tidak dinafikan bahawa hudud ini satu undang-undang terbaik tetapi macam di Kelantan, rakyat yang mahukan hukum itu menjadi undang-undang negeri kerana sejak 1993 Pas tidak pernah tewas di sana,” katanya.

Menurut Sallehen,  bagi rakyat Selangor satu pemerhatian teliti perlu dilaksanakan sebelum membuat pilihan berdasarkan persekitaran, perbezaan budaya dan kepelbagaian bangsa bagi mendapatkan persetujuan semua pihak.

 “Kalau rakyat beri mandat untuk itu, kita akan laksanakan. Hudud ialah alat ke arah mewujudkan negeri aman dan makmur yang disepakati semua orang.

“Sekiranya kita buat tapi rakyat tak setuju maka tak ada guna ia dilaksanakan. Apa yang penting rakyat perlu diberi pemahaman terlebih  dahulu,” katanya.

Semalam BN Selangor mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan sama ada meneruskan cadangan kajian menolak atau tidak Undang-Undang Syariah pada sidang Dun Selangor yang akan bermula Isnin depan.

Difahamkan, Speaker Dun, Hannah Yeoh mengesahkan kajian mengenai hudud adalah satu daripada empat cadangan yang diterima daripada BN untuk dibahaskan nanti.

Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik yang mencadangkan kajian dibuat telah menyerahkan cadangan tersebut pada minggu lalu.

Usul yang dibawa menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor mengkaji kebarangkalian pelaksanaan undang-undang hudud pada masa hadapan selaras dengan peruntukan perlembagaan persekutuan perkara 3 iaitu Islam sebagai agama persekutuan.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh dalam kenyataannya berkata, DAP Selangor akan menentang mana-mana usaha memperkenalkan hudud di negeri itu.

“Kami dalam DAP sudah banyak kali berkata sebarang undang-undang untuk melaksanakan hudud bertentangan dengan perlembagaan," katanya.

Daripada salinan usul itu, perkara tersebut dicadangkan di bawah peraturan 26 Peraturan Tetap Dun untuk dikemukakan pada persidangan minggu depan.