Ahad, 22 Jun 2014

DAP: KM dijangka benar MP hadiri pengebumian Wong

MALAYSIAKINI



 


Ketua Menteri Sarawak dijangka menarik larangan kemasukan ke atas beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke Sarawak, untuk membolehkan mereka menghadiri pengebumian ADUN Bukit Assek Wong Ho Leng.

Ini mengikut ADUN DAP Piasau, Alan Ling (kanan), yang menyambut baik langkah tersebut sebagai "berperi kemanusiaan".

MP DAP Stampin, Julian Tan  juga mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

Wong meninggal dunia akibat kanser otak malam tadi.

Awal hari ini, Naib pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok menggesa kerajaan Sarawak membenarkan pemimpin Pakatan menghadiri pengebumian Wong.

Naib pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata beliau dan ramai lagi ahli parlimen (MP) telah dihalang memasuki Sarawak.

"Ketua Menteri Sarawak telahpun berkata di banyak acara yang kerajaan beliau akan mengamalkan autonomi imigresen dan menghalang pelampau kaum dan agama dari memasuki Sarawak.

"Tetapi saya hairan mengapa saya dan rakan Pakatan dihalang masuk
kerana kami bukannya pelampau kaum dan agama," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

"Hari ini saya telahpun menghantar faks kepada pejabat ketua menteri Sarawak untuk merayu kepada beliau agar larangan kepada saya dan MP Pakatan diangkat agar kami boleh menghadiri pengkebumian Wong Selasa depan," tambahnya.

Menurut Teresa, Wong bukan saja rakan seperjuangan beliau dalam parti tetapi seorang kawan rapat yang amat dikagumi kerana prinsip beliau terhadap keadilan dan kesaksamaan dalam politik, kebijaksanaan dan kepetahan berbicara dalam bahasa Inggeris dan Cina.

"Beliau akan dirindui rakan seperjuangan dalam DAP. Beliau turut akan diingati sebagai MP pertama Pakatan Rakyat dari Sarawak apabila memenangi Pilihan Raya Kecil Subu pada 2010, kemenangan yang diberi jolokan 'Keajaiban Sibu'."

Tiada ulasan: