Sabtu, 14 Jun 2014

Dahulukan tuntutan syarak dalam berfesyen

BERNAMA 


KUALA LUMPUR: Wanita muslimah harus mendahulukan tuntutan syarak dalam aspek pemakaian bagi memastikan pakaian mereka mencerminkan keperibadian muslimah sebenar, demikian kata penceramah motivasi terkenal Prof Dr Muhaya Mohamad.
  
Menurut beliau, terdapat wanita muslimah yang sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mengikuti trend fesyen terkini sehingga terlupa tujuan sebenar berhijab dan menutup aurat.
  
"Alangkah ruginya wang yang dibelanjakan, kalau niat adalah untuk kecantikan dan pandangan manusia dan bukannya kerana Allah, kerana hijab bukan sahaja di
luaran tetapi juga di dalam hati,” katanya yang juga seorang pakar opthalmologi.
  
“Bercantik itu sederhana. Islam menggalakkan kesederhanaan dan sebaiknya kita pakai bukan untuk tampak anggun semata-mata tetapi untuk sopan dan menjaga aurat,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan sesi ceramah motivasi pada Pameran Hijab Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIHF) 2014 di sini.
  
Menurutnya, ada juga golongan wanita muslimah yang berhijab tetapi tidak menjaga aurat di tempat lain serta mengabaikan kewajipan lain seperti solat dan
puasa.
  
Dr Muhaya juga menasihati agar pengeluar fesyen muslimah memainkan peranan
penting dalam memastikan pakaian yang direka dan dijual menetapi ciri fesyen
seorang muslimah.
  
“Kalau boleh, buat fesyen kerana Allah. Kejarlah untung di akhirat daripada untung di dunia kerana orang yang mengejar akhirat pasti akan dapat dunia sekali,” katanya.
  
KLIHF diadakan buat julung kali di Pusat Dagangan Dunia Putra bermula semalam hingga esok dengan penyertaan 250 gerai pameran fesyen muslimah termasuk 50 daripada kalangan usahawan antarabangsa.

Tiada ulasan: