Rabu, 11 Jun 2014

Cermin gelap: Hasil bengkel hanya 'berakhir' di Glenmarie?

ZULHAZMI SHARIFF





PINDAAN KAEDAH-KAEDAH KENDERAAN MOTOR (LARANGAN MENGENAI JENIS-JENIS KACA TERTENTU) 1991 - DI MANA BERAKHIR?


Pada 15 MEI 2014, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman PDRM SAC Mohd Fuad Abd Latif memaklumkan bahawa suatu operasi besar-besaran berkaitan penggunaan cermin gelap akan mula dilakukan pada 16 JUN 2014.

Beliau seterusnya memberikan amaran kepada pemilik-pemilik kenderaan supaya mematuhi peraturan sedia ada iaitu Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 yang membenarkan kegelapan cermin hadapan kenderaan 30% dan cermin selainnya 50% yang mana kegagalan mematuhinya akan dikenakan tindakan.

Ekoran dari itu timbul pelbagai reaksi daripada pengguna dan persatuan-persatuan yang berkepentingan. Mengambil langkah pro-aktif, Kementerian Pengangkutan mengadakan suatu bengkel yang disertai agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan berkepentingan dan Ahli-ahli Parlimen. Bengkel tersebut telah dijalankan selama dua (2) hari di Hotel Holiday Inn, Glenmarie, Shah Alam pada 2 dan 3 JUN 2014.

Pelbagai cadangan, respon, reaksi dan bantahan telah dikemukakan semasa bengkel berlangsung. Pada penghujung bengkel Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi memaklumkan bahawa semua cadangan dan maklum balas akan dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan untuk diambil tindakan.

Hasil bengkel tersebut antaranya mengesyorkan supaya kadar ketelusan cahaya (VLT) untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang dikurangkan kepada 30 peratus berbanding VLT asal sebanyak 50 peratus manakala ketelusan cermin hadapan kekal 70%.

Carian di portal rasmi E-Warta Persekutuan masih tidak kelihatan pewartaan apa-apa kaedah baru yang bermaksud hasil kajian bengkel yang dijalankan baru-baru ini masih di awang-awangan.

Hari ini 11 JUN 2014 bermakna masih ada empat (4) hari sebelum operasi besar-besaran oleh pihak PDRM dijalankan. Pengguna dan pemilik kenderaan masih menunggu apakah keputusan kerajaan. Di mana ianya akan berakhir?

Adakah kaedah lama terpakai atau kaedah baru hasil perbincangan bengkel akan dilaksana sedangkan PDRM sudah tidak sabar-sabar hendak menjalankan operasi? Jika ada pindaan atau kaedah baru, bilakah akan diwartakan?

Kenapa mengambil masa terlalu lama sedangkan Timbalan Menteri Pengangkutan menyatakan bahawa semua hasil bengkel akan terus dipanjangkan kepada Menteri untuk perhatian dan jika dipersetujui akan dilaksanakan serta-merta.

Tindakan kerajaan melengah-lengahkan pengumuman dan pewartaan kaedah baru ini memberikan kesan kepada pengguna khususnya pemilik kenderaan. Jika kerajaan umumkan dalam masa yang hampir tarikh perlaksanaan operasi oleh PDRM, maka pengguna akan bersesak-sesak ke kedai aksesori.

Adakah hasil bengkel ini hanya berakhir di Glenmarie? Sama-sama kita tunggu.

*Penulis adalah Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) merangkap Timbalan Pengarah Badan Mobilisasi Rakyat, Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: