Isnin, 30 Jun 2014

BN jual tanah 35 kali lebih banyak, tapi hasil kecil

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang berjaya mendapat pulangan yang lebih besar daripada penjualan tanah negeri, walaupun jumlah keluasannya jauh lebih kecil berbanding kerajaan BN sebelum ini melalui sistem tender terbuka yang berdaya saing.

Malah, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng, hampir separuh daripada hasil tersebut pula disalurkan bagi membina 20,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat.

Tambahnya, kepada pihak yang mendakwa kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada penjualan tanah bagi mendapatkan hasil, ia tidak benar memandangkan kerajaan BN telah menjual tanah dengan keluasan 35 kali ganda namun mendapat pulangan lebih kecil.

“BN sebelum ini menjual sekurang-kurangnya 3,661 ekar tanah dan mendapat RM1.0586 bilion. Manakala kami menjual hanya 106.1 ekar dengan hasil RM1.1102 bilion,” ujarnya dalam satu kenyataan dipetik Roketkini.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, perbezaan itu adalah kerana kerajaan Pakatan sentiasa mengamalkan sistem tender terbuka bagi mendapatkan hasil yang lebih banyak untuk dipulangkan kepada rakyat.

“Isu ini sering dimainkan BN melalui media kawalan mereka. Mujurlah rakyat Pulau Pinang tidak mudah ditipu. Malah Pakatan mendapat mandat terbesar dalam sejarah negeri pada Pilihanraya Umum lalu dengan 68% undi popular,” katanya lagi.

Dengan hasil yang diperolehi itu, katanya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan RM500 juta untuk Skim Perumahan Awam Mampu Milik bagi membina 20,000 unit rumah di lima daerah di Pulau Pinang.

“Jumlah ini adalah yang terbesar yang disalurkan kerajaan negeri di Malaysia, dan kami sanggup menambahkan lagi peruntukan jika perlu," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri juga menjadi perintis Skim Pemilikan Bersama untuk membantu golongan berpendapatan rendah yang sukar mendapat pinjaman bank memiliki rumah, dengan memberikan pinjaman tanpa faedah sebanyak 30 peratus bagi membayar harga belian rumah tersebut.

Tiada ulasan: