Ahad, 15 Jun 2014

Belanjawan 2015: RM17 juta bina Maahad Tahfiz Sains Integrasi

Oleh: NAZLI IBRAHIM


SELAYANG: Kerajaan Selangor dijangka memperuntukkan kira-kira RM17 juta bagi membiayai pembinaan sebuah Sekolah Maahad Tahfiz Sains Integrasi dalam Belanjawan 2015 nanti.

Sekolah yang dibina mengikut spefikasi berdasarkan piawaian standard Kerajaan Selangor itu dibina berikutan peningkatan kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah aliran agama sekaligus melahirkan lebih ramai ilmuan agama dari kalangan anak muda negeri itu.

Exco Agama, Sallehen Mukhyi berkata, sekolah ini akan dibina mengikut spefikasi tetap berdasarkan piawaian yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

murid tahfiz 25 julai 01“Kita juga sudah menetapkan satu kadar dan spefikasi yang standard untuk sesebuah sekolah. Pada masa ini Kerajaan Negeri ada kecenderungan untuk menjadikan Maahad Tahfiz Alam Impian yang dibina bersekali dengan masjid sebagai model.

“Kalau mengambil Sekolah Maahad Tahfiz Alam Impian sebagai model, kos pembinaannya memerlukan RM30 juta tetapi kalau tanpa masjid iaitu sekolah sahaja lebih kurang RM17 juta bagi membina sebuah sekolah yang mempunyai bangunan tiga tingkat yang lengkap,” kata Sallehen ketika ditemui Selangor Kini dalam majlis Pecah Tanah Fasa 1 Sekolah Agama Rakyat (Kafa) Integrasi Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang di sini, hari ini.

Tambah Sallehen, Kerajaan Negeri akan menambah bilangan Sekolah Maahad Tahfiz Sains Intergrasi lebih banyak lagi dalam belanjawan akan datang.

“Pada masa ini kita masih mengkaji lokasi pertama untuk pembinaan Maahad Tahfiz itu walaupun ada kecenderungan untuk dibina di Hulu Langat dahulu sebab ada tawaran pihak yang mewakafkan tanah di sana.

Sallehen“Sebenarnya di Ijok juga ada penduduk yang setuju mewakafkan tanah seluas 40 ekar untuk tujuan ini. Walaupun sebenarnya Kuala Selangor belum termasuk dalam rancangan kita tetapi sekiranya prosesnya lebih mudah kita sedia mempertimbangkan,” kata beliau lagi.

Sebelum itu, Sallehen merasmikan Majlis Pecah Tanah Fasa 1 Sekolah Agama Rakyat (Kafa) Integrasi Masjid Al-Firdaus Bandar Baru Selayang.
EZY

Tiada ulasan: