Satiful Bahri Mamat  
Satiful Bahri Mamat


KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu meminta tindakan tegas dikenakan terhadap mana-mana pihak bertanggungjawab terhadap ketirisan dan kelemahan urus kewangan sehingga menyebabkan kerugian serta pembaziran wang rakyat.

Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya memandangkan ia melibatkan jumlah cukup besar, di samping isu sama dibangkitkan setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan dalam Parlimen.

Malah, beliau cukup yakin isu ketirisan dan kelemahan akan terus berlaku sekiranya perkara sedemikian dibiarkan tanpa tindakan susulan.

“Tindakan diambil sebelum ini tidak cukup tegas sehingga menyebabkan perkara sama berulang walaupun kadangkala Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) memanggil pihak terlibat.
"Yang penting bila tindakan cukup tegas seperti dipecat atau digantung kerja, orang lain tidak akan ulanginya.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu ambil tindakan dan ke hadapan berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen pada 16 Jun lalu, yang menunjukkan masih berlaku ketirisan dan kelemahan seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1.

Dalam laporan sebelum ini, isu pembelian barang melebihi harga pasaran, syarikat mencatat kerugian berterusan, projek tidak memuaskan dan beberapa kelemahan lain, masih berlaku serta gagal diuruskan dengan berhemah.

Menurut Satiful Bahri yang juga Adun Paka lagi, rakyat sudah muak dengan laporan sama membabitkan ketirisan yang tidak sepatutnya berlaku.

Kata beliau, keadaan itu seolah-olah menunjukkan pihak terlibat tidak melakukan penambahbaikan dan penekanan bagi mengelak pembaziran wang rakyat.

“Sampai bila kita mahu tengok duit rakyat diguna dengan cara tidak betul. Rakyat pun sudah bosan melihat perkara sama dilaporkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap berlaku perkembangan positif khususnya di negeri ini di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman yang baru dilantik lebih sebulan lalu.