Jumaat, 30 Mei 2014

SKMM kesan individu hina institusi beraja berhubung kemangkatan Sultan Perak

THE MALAYSIAN INSIDER

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati beberapa individu dalam laman media sosial menghina institusi beraja, terutamanya berhubung kemangkatan Sultan Perak, almarhum Sultan Azlan Shah, minggu ini.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, berkata pihaknya sedang bertindak mengesan individu-individu tersebut dan memohon orang awam yang mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan MCMC untuk tampil memberikan maklumat berkenaan.

“Kami memandang serius penghinaan sebegini dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti diperuntukkan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah mangkat pada jam 1.30 petang, Rabu lalu dan jenazahnya selamat disemadikan semalam di Makam Diraja Kuala Kangsar, Perak.

SKMM adalah sebuah badan berkanun ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang melaksana dan mempromosikan matlamat dasar kebangsaan Malaysia bagi sektor komunikasi dan multimedia.

SKMM mengawalselia dan menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia yang merangkumi bidang telekomunikasi, penyiaran, dan juga aktiviti dalam talian, perkhidmatan pos dan pensijilan digital.

Akta Komunikasi dan Multimedia mengadakan peruntukan kepada SKMM peranan melaksanakan dasar, manakala dasar membuat keputusan adalah diperuntukkan kepada Menteri. Menteri boleh juga mengeluarkan arahan mengenai dasar kepada Suruhanjaya. – Bernama

Tiada ulasan: