Selasa, 27 Mei 2014

Perkasa lebarkan sayap ke luar Malaysia, bermula di London

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali (tengah) mengumumkan pembukaan cawangan baru kelab Perkasa di London pada Sabtu ini di mana Ibrahim Ali dijangka melancarkan di Southwick, St Paddington, London dengan keahlian mencecah lebih 200 orang. – Gambar fail, 27 Mei, 2014. Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali (tengah) mengumumkan pembukaan cawangan baru kelab Perkasa di London pada Sabtu ini di mana Ibrahim Ali dijangka melancarkan di Southwick, St Paddington, London dengan keahlian mencecah lebih 200 orang. – Gambar fail. 



 Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) akan melebarkan sayapnya ke luar negara apabila bakal membuka cawangan pertama di London Sabtu ini sebagai respon kepada permintaan orang Melayu yang tidak mahu menyertai organisasi politik seperti Umno, kata Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali.

Kumpulan sayap kanan yang ditubuhkan pada 2008 selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihan raya umum tahun itu mendakwa mempunyai lebih 500,000 ahli yang kebanyakannya daripada Umno.

"Ada permintaan daripada masyarakat Melayu di London supaya Perkasa membuka cawangan di sana," kata Syed Hasan kepada The Malaysian Insider.

"Mereka tidak mahu menyertai kelab pertubuhan politik di sana, jadi mereka minta Perkasa membuka cawangan di London," katanya, ketika ditanya mengenai Kelab Penyokong Umno Luar Negara yang turut mempunyai cawangan di London.

Kelab Penyokong Umno Luar Negara mempunyai 72 cawangan di 18 negara dengan keahlian 14,000 orang di seluruh dunia.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dijangka akan melancarkan cawangan London pada Sabtu di Southwick, St Paddington, London dengan keahlian mencecah lebih 200 orang.

Jemputan media sudah mula dihantar yang menyatakan lebih 275 ahli sudah mendaftar dengan Kelab Perkasa UK dan Eropah.

Syed Hasan berkata, keahlian kelab Perkasa di luar negara itu terbuka kepada mana-mana rakyat Malaysia kaum Melayu dan beragama Islam yang bekerja mahupun belajar di luar negara.

Beliau berkata Perkasa juga akan membuka kelab di Mesir, Jordan, Indonesia, dan juga Australia pada masa akan datang.

"Antara aktiviti yang kita rancang untuk kelab Perkasa luar negara adalah seperti forum, perbincangan dan sebagainya," katanya.

Bagi tujuan itu, Ibrahim katanya dijangka bakal berlepas ke London pada pagi 29 Mei ini bersama 33 lagi pemimpin kanan Perkasa dari Malaysia.

Perkasa dikenali sebagai kumpulan pendesak Melayu yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya 2008 dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penaung.

Pertubuhan ini sering dikecam dan dilabel sebagai rasis oleh pengkritiknya kerana sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan kontroversi.

Bagaimanapun, mereka mendakwa hanya mempertahankan hak kaum Melayu dan Bumiputera seperti tertakluk dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Syed Hasan mengatakan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) yang sering mengeluarkan kenyataan keras terhadap kaum lain sejak akhir-akhir ini sebagai "saudara" mereka.

"Saya tidak ragu-ragu untuk mengisytiharkan kami umpama abang dan adik. Perkasa tidak cemburu dengan mereka, tetapi kami mengalu-alukan lebih banyak kewujudan kumpulan seperti kami," katanya.

"Lagi ramai lagi bagus," katanya, dan menambah Perkasa tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan pertubuhan seperti mereka selagi mempunyai agenda perjuangan serupa.

Isma menjadi tajuk utama berita beberapa minggu lalu selepas menimbulkan kemarahan kaum Cina apabila mengatakan mereka merupakan pendatang dan penceroboh.

Bukan organisasi politik seperti Umno dan Perkasa sahaja yang menarik rakyat Malaysia di luar negara menyertai perjuangan dan ideologi mereka.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dari PKR, ribuan rakyat Malaysia yang bekerja dan tinggal di luar negara pulang mengundi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada Mei tahun lepas.

Terdapat antara 75% hingga 85% rakyat Malaysia luar negara yang mengundi PR dalam PRU tahun lalu, kata Nurul Izzah pada Jun tahun lepas.

Ini menyebabkan pemimpin PR seperti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pergi ke Australia untuk menghadiri forum dan perbincangan dengan pelajar Malaysia sementara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berucap di Kolej Merton di Universiti Oxford.

Pada Julai tahun lalu, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengetuai delegasi PAS ke Perth, Adelaide dan Melbourne untuk mencari dana bagi petisyen pilihan raya yang mahu difailkan PR tidak lama selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Bukan orang Islam sahaja yang hadir dalam forum anjuran PAS itu, dan mereka teruja dengan kehadiran dan derma diterima.

Angka rakyat Malaysia yang berpindah ke Australia meningkat naik daripada 1,350 setahun pada 1970-an kepada 5,400 setahun (dari 2006 hingga 2011).

Bancian pada 2011 menunjukkan 116,196 penduduk tetap/rakyat Australia dilahirkan di Malaysia dan 7,224 (4,200 dalam bancian 2006) mengisytiharkan Islam sebagai agama mereka

Tiada ulasan: