Khamis, 29 Mei 2014

Jangan amalkan lagi projek rundingan terus

Ia bertujuan mengelakkan harga projek melambung tinggi 

Hanafiah Mat


KEMAMAN: Kerajaan negeri diminta lebih telus dalam melaksanakan projek kepentingan rakyat supaya harga sebenar kontrak tidak melambung tinggi.

Menurut ADUN Chukai, Hanafiah Mat (gambar) kerajaan sepatutnya melaksanakan tender secara terbuka dan tidak mengamalkan lagi projek rundingan terus.

Katanya, selepas sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung bulan lepas, seorang kontraktor yang diarahkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said telah memulakan kerja untuk membina jambatan Limbung yang runtuh di musim banjir Disember tahun lepas.

“Tetapi dua hari lepas saya nampak kontraktor berkenaan sudah berhenti membuat kerja. Saya pun hairan kerana dia berhenti. Rupa-rupanya setelah saya siasat, kontraktor berkenaan belum menerima letter of award (LA) daripada agensi kerajaan negeri,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, kontrak bernilai RM33 juta itu diberi secara rundingan terus kepada kontraktor berkenaan.

Justru itu beliau meminta Menteri Besar baharu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman membatalkan projek rundingan terus itu kerana agensi terbabit belum mengeluarkan lagi LA kepada kontraktor berkenaan.

“Saya pun hairan bagaimana kontraktor yang belum dapat hitam putih berani buat kerja. Apabila berlaku pertukaran menteri besar, maka kontraktor itu berhenti buat kerja kerana bimbang LA itu diberi kepada kontraktor lain pula oleh menteri besar baharu,” katanya lagi.

Hanafiah berharap kerajaan negeri di bawah pimpinan Ahmad Razif dapat mengikut prosedur biasa membuka tender secara terbuka kepada orang ramai daripada memberi tender secara rundingan terus yang memungkinkan harga melambung tinggi.

Tiada ulasan: