Khamis, 29 Mei 2014

Isu DNA babi: Peruncit boikot Kraft Food

MALAYSIAKINI




 
 
 
Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) mengumumkan, 800 anggotanya akan menghentikan jualan produk keluaran syarikat multinasional Kraft Food Group ekoran penemuan DNA babi dalam salah satu produknya.

Jurucakap pertubuhan itu, Bazeer Ahmad berkata, kempen dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) itu merupakan protes ke atas syarikat bawah Kraft Food, yang didakwa tidak jujur dalam pengeluaran produk halal.

Menurutnya, ia juga sebagai tanda bantahan kerana pengeluar produk tersebut bukan sahaja melanggar sensitiviti umat Islam, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengesahkan dua produk coklat keluaran Cadbury Confectionary (M) Sdn Bhd dikesan mengandungi DNA babi. Kraft Food Group adalah syarikat induk Cadbury.

Bazeer juga memaklumkan MAWAR akan meninjau premis di bawah naungannya di seluruh negara supaya tidak lagi menjual produk berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai membuat aduan sekiranya masih ada peruncit yang masih degil menjual produk syarikat itu.

Beliau turut merayu kepada semua yang terlibat menjual produk syarikat itu supaya menghentikan berbuat demikian sehingga masalah itu dapat ditangani kerajaan.

Sementara itu, aktivis PPIM, Sheikh Abd Kareem S Khadaied menegaskan bahawa tindakan mereka itu berlandaskan Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 yang memperuntukan pengeluar produk mematuhi standard makanan dan pelabelan serta kebersihan makanan bagi mengelak orang awam daripada bahan-bahan yang menjejaskan kesihatan.

“Kita dalam proses tinjauan di premis. Setakat ini hanya 20 peratus (produk dikeluarkan dari rak). Jadi kita berharap, kerjasama dengan MAWAR akan dapat meningkatkan peratus produk itu dikeluarkan dari rak kedai,” katanya.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan kandungan DNA babi dalam dua produk cadbury iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Hazelnut (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond).

Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menarik sijil halal dua produk yang sedang dalam siasatan itu.
 

Tiada ulasan: