Finas ‘dibidas’ lagi!


BARU-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, tampil menegur sikap segelintir pegawai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dilihat tidak mengambil peluang pasaran ketika menghadiri Festival Filem Antarabangsa (FFA) di Cannes, Perancis.

Menurut beliau, walaupun acara itu dihadiri wakil Finas setiap tahun, namun tiada apa yang ‘dibawa’ pulang untuk dipraktikkan dalam industri tempatan.

Katanya, rata-rata pegawai yang 'terbang' ke Cannes dilihat sekadar ‘makan angin’ dan memenuhi undangan dan semata-mata.

Teguran itu dibuat ketika majlis ramah mesra bersama pemimpin dan ahli 27 persatuan perfileman tempatan yang berlangsung di Finas.

Walaupun Finas kini lebih selesa mengambil pendekatan untuk berdiam diri, namun perkara ini turut diakui oleh Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli.

Ikuti temu bual yang disusun bersama pucuk pimpinan Gafim yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) ini.}

Pada pandangan anda, adakah wajar teguran itu diberikan kepada Finas?

Ia adalah satu tindakan yang sangat wajar kerana sebagai menteri, beliau perlu melihat perkara ini dalam konteks yang menyeluruh. Demi industri, beliau perlu bersuara agar pihak yang berkenaan tidak hanya ‘goyang kaki’ tanpa perlu memikirkan apa-apa tindakan untuk memajukan industri. Malah, saya lihat, teguran itu bukan untuk menjatuhkan Finas namun, lebih kepada teguran ikhlas yang ada asasnya.

Apakah sebelum ini Gafim sudah memerhatikan senario itu?

Sebenarnya, saya juga perasan ada dalam kalangan pegawai yang berpuluh kali ke sana, namun tidak membawa pulang pengalaman di sana. Sebelum ini, Gafim pernah membuat teguran seumpama itu sebelum ini, namun ia hanya dibawa angin lalu.

Kami juga pernah bertanya, mengapa orang industri tidak dibawa bersama kerana kami lebih tahu untuk mengaplikasikan di sini. Bukan sahaja peluang pasaran dan industri, kita juga mampu mengadakan penganjuran festival yang meriah seperti FFA di Cannes jika mendapat pengalaman di sana. Namun, peluang itu tidak diberikan kepada kami dan mereka (Finas) lebih selesa membawa pegawai sendiri.

Pada pandangan anda, adakah teguran secara terbuka oleh menteri itu akan mengubah cara kerja Finas selepas ini?

Gafim mengharapkan perubahan positif dari Finas dan saya dimaklumkan, Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM26) akan lebih meriah dan cemerlang berbanding sebelum ini. Namun, apa yang pasti, sehingga kini, Gafim masih belum dipanggil untuk berbincang. Kami juga tidak menerima apa-apa penjelasan mengenai FFM26 sedangkan festival itu bakal diadakan pada September depan. Saya harap, Finas dapat melakukan yang terbaik pada tahun ini. FFM bukanlah festival biasa kerana ianya adalah malam anugerah berprestij untuk memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tanah air. Jadi, lakukanlah dengan sehabis baik.

Mengenai FFM26, adakah Gafim akan turut sama menjayakannya?

Kemungkinan besar, Gafim hanya penganjur bersama. Namun, saya tidak kisah sekiranya Finas memutuskan Gafim untuk tidak turut serta kerana menteri telah memberitahu bahawa FFM26 akan diserahkan kepada Finas. Pun begitu, saya harap agar Finas dapat menjalankan tanggungjawab ini dengan baik dan berjaya dari segi penganjuran, itu sahaja.

Selepas memilih untuk berdamai dengan Finas pada Oktober tahun lalu, Gafim dilihat lebih banyak ‘diam’. Bagaimana maklum balas dari persepakatan lalu?

Saya diam kerana orang tak tanya. Tapi, sebenarnya, banyak perkara yang dijanjikan gagal untuk dilaksanakan. Saya masih menunggu panggilan daripada Finas untuk berjumpa, berdialog dan berdiskusi. Namun, sejak perjumpaan tahun lalu, sehingga kini masih belum ada sebarang perjumpaan. Saya sendiri tertanya-tanya, adakah Finas ikhlas dalam berdamai? Dalam perjumpaan tahun lalu, Finas dan Gafim berjanji untuk tidak memberi teguran menerusi akhbar. Namun, bagaimana kami ingin berbincang kalau Finas sendiri buat begini? Mereka masih berdiam dan semakin menjauhkan diri dari industri. Bagaimana masalah nak diselesaikan jika begini sikap Finas.

Berbalik kepada perjanjian lalu, tidakkah anda bimbang jika hubungan ini kembali retak?

Kami menegur bukan kerana ada agenda lain mahupun niat untuk menjatuhkan Finas. Kami tegur kerana Finas adalah badan yang bertanggungjawab memayungi industri. Kami sayangkan industri dan ekosistem industri perlu diubah. Saya tak tahu kenapa Finas seakan enggan mengambil tahu masalah industri. Ini bukanlah cara menyelesaikan masalah, namun menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Masalah seperti cetak rompak, dana pengurusan persatuan dan bayaran stesen televisyen masih belum menemui jalan penyelesaian. Di tambah pula pada tahun ini, kutipan filem di pawagam semakin merudum dan teruk. Saya turut risau dengan keadaan ini.

Akhir sekali, apakah yang anda harapkan daripada Finas?

Saya bercakap bukan atas dasar peribadi atau individu. Saya bercakap mewakili Gafim dan atas dasar prihatin kepada nasib industri. Saya mohon Finas ‘celik mata’ dan fikirkan mengenai industri kita. Selain Finas, badan-bahan berkenaan termasuk kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu memainkan peranan. Kalau bukan mereka, siapa lagi yang akan memperjuangkan hak-hak industri.