Subramanaim menunjukkan coklat Cadbury Dairy Milk pada sidang media berhubung isu coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine). - Foto Bernama Subramanaim menunjukkan coklat Cadbury Dairy Milk pada sidang media berhubung isu coklat Cadbury iaitu coklat susu dengan kacang hazel (Cadbury Dairy Milk Hazelnut) dan coklat susu dengan buah badam (Cadbury Dairy Milk Roast Almond) mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine). - Foto Bernama


TELUK INTAN - Kerajaan sedia menerima sebarang tindakan yang akan diambil oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap isu pencemaran DNA babi ke atas produk Cadbury.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam berkata, siasatan yang dilakukan terhadap produk berkenaan perlu melalui beberapa proses sebelum kenyataan mengenainya dikeluarkan.

Bagaimanapun, kajian awal terhadap produk berkenaan terbocor dan diketahui umum secara tidak rasmi sebelum tindakan selanjutnya dibuat.

"Sebagai pihak yang bertanggungjawab, kita kena pastikan apa yang keluar (kenyataan) itu adalah perkara yang betul.

"Terpulang kepada mereka. Kalau nak ambil tindakan kita akan jawab semuanya," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Teluk Intan, ​hari ini.​

Semalam, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bersama 80 NGO menimbang untuk memfailkan saman ke atas syarikat Cadbury kerana produk mereka mengandungi DNA babi.

Pada masa sama, Presiden JMM, Azwanuddin Hamzah turut kesal terhadap Jakim dan Kementerian Kesihatan yang didakwa lambat bertindak.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Subramaniam berkata, siasatan pihaknya masih diteruskan melalui beberapa proses.

"Mereka mungkin tak tambah secara sengaja (DNA babi) tetapi berlaku pencemaran semasa proses menghasilkan produk.

"Perkara ini yang perlu dipastikan supaya ia dapat dielakkan di dalam proses yang lain," katanya lagi.

Menurutnya, selain Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut bermesyuarat mengenai perkara tersebut.