Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad  
Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad


KUALA TERENGGANU - Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd susulan penemuan DNA babi di dalam dua produknya.

Beliau berkata, tindakan seperti denda yang berat atau penutupan kilang adalah wajar sebagai pengajaran kepada syarikat lain agar lebih berhati-hati dalam pematuhan piawaian halal.

"Apa sahaja keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap syarikat itu akan kita sokong, asalkan ia tidak berulang pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mahabbah dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu yang mengesahkan dua sampel coklat keluaran Cadbury mempunyai DNA babi.

Mengulas lanjut, Syaikh Ismail juga tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang berniat jahat dengan menjadikan makanan sebagai alat untuk menggugat akidah umat Islam.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati dengan status makanan yang diambil kerana sikap sambil lewa terhadap perkara itu hanya memudaratkan umat Islam sendiri.

"Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama sahaja seperti orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal haramnya sesuatu produk itu.

"Pada masa sama, kita mengharapkan pihak berkuasa terus memantau syarikat pengeluar makanan yang lain bagi mengelak perkara ini terjadi," katanya. - Bernama