Khamis, 29 Mei 2014

Bukan babi saja haram, rasuah penyelewengan juga haram, kata ahli Parlimen PAS

OLEH JAMILAH KAMARUDIN
 

Persepsi babi-itu-haram menunjukkan tahap kelemahan mentaliti Melayu-Islam yang duduk di bawah pemerintahan Umno, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad (gambar).

Khalid berkata, ‎melalui hasil didikan songsang Umno, sensitiviti lain yang menjurus kepada hukum haram tidak ditekankan.

"Soal sensitiviti jangan isu babi sahaja, banyak lagi benda haram seperti ‎isu rasuah, penyelewengan, perkauman, kezaliman‎ yang langsung tiada sensitiviti dalam masyarakat.

"Isu pinjaman Bank Rakyat –Sabbaruddin Chik, Koperasi Fidlot Nasional (NFC) ini pun haram juga," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Beliau menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan menasihat masyarakat Islam supaya tidak terlalu mengikut perasaan dan mengeluarkan pandangan tidak masuk akal, termasuk menukar darah yang tercemar akibat memakan coklat Cadbury mengandungi porcine.

Katanya, Majlis Fatwa diberi tempoh masa sehingga tiga hari mengeluarkan kenyataan supaya kekeliruan dihentikan.

"Kita minta alim ulama kalau nak selamatkan imej Islam yang nampak sulit biarlah mereka memberikan kenyataan dalam soal ini.

"Jangan cepat bertindak atas emosi, NGO lain tidak perlu buat kenyataan mengarut," katanya.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emiritius Tan Sri Dr Abd Shukor Husin pada semalam dilaporkan berkata, pihaknya masih belum menjatuhkan sebarang hukum lagi terhadap dua produk Cadbury yang tercemar dengan DNA babi.

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan belum ada penyelidikan yang dapat mengenal pasti sama ada DNA babi yang tercemar adalah asli atau sintetik dan sejauh mana tahap pencemarannya.

Ekoran itu, katanya keputusan muzakarah pada 2011 bahawa umat Islam diharuskan mengambil makanan dan minuman yang mengandungi bahan najis seperti DNA babi akibat  pencemaran yang tidak disengajakan atau tidak disedari, tidak terpakai kepada produk Cadbury.

Gabungan Pertubuhan Islam bukan kerajaan (Accin) sebelum ini mendesak kilang coklat Cadbury membayar kos menukar darah kepada semua umat Islam yang termakan bahan haram berkenaan.

Tiada ulasan: