Barack Obama Obama melambai tangan sebelum berlepas ke Filipina, semalam.


SUBANG - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama berlepas ke Filipina selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari di Malaysia, semalam.

Lawatan beliau itu sekali gus mengukir sejarah dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan oleh Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Pesawat Air Force One membawa Presiden AS itu berlepas pada kira-kira 10.15 pagi dari Pangkalan Udara Subang dengan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Duta Malaysia ke AS Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Duta Khas Malaysia ke AS Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Sepanjang di Kuala Lumpur, Obama menamatkan atur cara akhir dengan menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian komersial antara syarikat Malaysia dan AS bernilai AS$2 bilion (RM6.5 bilion) dalam sektor penerbangan, bioteknologi dan insurans.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Ahad lalu, kedua-dua pemimpin itu mengadakan mesyuarat dua hala di Putrajaya menyaksikan Malaysia dan AS bersetuju meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif.

Selain itu, AS juga berjanji akan terus membantu Malaysia dalam operasi dan penyiasatan untuk mengesan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Jadual kedatangan beliau ke Kuala Lumpur turut terisi dengan menghadiri sesi perjumpaan tidak formal dengan pemimpin belia peserta Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) dalam satu majlis dialog di Universiti Malaya dan melawat Masjid Negara termasuk menghadiri jamuan negara bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara pada Sabtu lalu.

Sebelum Malaysia, beliau melawat Jepun dan Korea Selatan.

Bagaimanapun, kehadiran Obama mencetuskan pelbagai reaksi daripada rakyat di negara ini, ada yang sanggup menunggu beberapa jam hanya untuk melihat wajah beliau secara dekat dan ada juga beberapa kumpulan yang melakukan demonstrasi aman.

Bukan itu sahaja, kesesakan lalu lintas turut berlaku beberapa jam sebelum beliau melalui beberapa jalan sekitar ibu negara.

Difahamkan juga, kawalan trafik udara berada dalam siap siaga selain pelbagai spekulasi dan tanggapan terutama menuduh beliau membuli Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Apa pun, rakyat bebas beranggapan apa sahaja.

Namun, sepanjang kunjungan beliau ke negara ini, rakyat Malaysia harus bangga apabila negara kita menyediakan tahap keselamatan yang terjamin.

Kesimpulannya, Malaysia boleh 'menumpang' keselesaan beliau sebagai memberikan tanggapan positif dan jaminan kepada pelancong dan pelabur negara luar untuk terus berkunjung dan menjalin kerjasama dengan negara ini.

Hari ini, adakah Filipina juga merasakan debaran yang sama seperti dilalui Malaysia sepanjang tiga hari?.

Belum pun tiba pesawat beliau ke Filipina semalam, media negara itu sudah menyebarkan beberapa gambar protes dilakukan oleh rakyat Presiden Benigno S Aquino di Manila.