Khamis, 10 April 2014

Mandi bogel di penjara: Timbalan Menteri akui ia memalukan

ANIS NAZRI 


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersetuju dengan Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berhubung isu banduan mandi berbogel di penjara satu perkara memalukan negara.

Berjanji untuk mengambil perhatian dengan aduan tersebut, Junaidi berkata beliau akan menghubungi pihak penjara, khususnya Penjara Pengkalan Chepa untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Menurut beliau, aduan yang mengatakan banduan diarahkan untuk mandi bogel bersama lebih 100 banduan lain itu akan disiasat, selain menyatakan ia tidak sepatutnya berlaku.

"Saya ambil perhatian berkenaan aduan tersebut dan akan menghubungi rakan saya iaitu pihak penjara untuk penjelasan lanjut. Saya juga setuju perkara tersebut merupakan satu perkara yang memalukan negara," kata beliau ketika menjawab soalan Marzuk, di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Marzuk dalam soalan tambahannya memaklumkan kepada dewan bahawa beliau mendapat aduan daripada seorang banduan yang ditempatkan di blok kuarantin diarahkan berbogel di hadapan lebih 100 banduan lain di Penjara Pengkalan Chepa.

Selain menyatakan peranan penjara sebagai satu pusat untuk memulihkan banduan, Marzuk dalam masa sama mempersoalkan kemudahan solat kepada banduan, selain keperluan Suhakam untuk mengadakan lawatan ke penjara tanpa notis.

Menjawab soalan tersebut, Junaidi berkata kementerian sudah mengambil kira keperluan tersebut, bagaimanapun menetapkan keperluan memberi notis terse ut.

Katanya, notis itu diperlukan bagi memastikan pegawai atasan berada di pusat penjara ketika lawatan dari Suhakam bagi membolehkan dan memudahkan maklumat disalurkan kepada pihak berkenaan.

"Kalau tiada notis, kita bimbang waktu ada lawatan daripada Suhakam, pegawai tiada untuk memberikan maklumat yang sepatutnya," kata beliau.

Tiada ulasan: