Rabu, 16 April 2014

Khalid nafi guna SelangorKu untuk berkempen

Khalid menafikan dakwaan Amirudin Shari yang beliau menggunakan media rasmi Kerajaan Negeri Selangor untuk berkempen.
Amirudin Shari
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menafikan dakwaan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Amirudin Shari  (gambar) yang beliau menggunakan media rasmi Kerajaan Negeri Selangor, SelangorKu untuk berkempen dalam pemilihan PKR 2014.

“Tidak. Saya tidak gunakan Selangorku untuk berkempan,” ujarnya sewaktu ditemui media di lobi Dewan Annex.

Semalam, ADUN, Batu Caves, Amiruddin berkata, calon lain juga perlu diberi ruang yang sama jika Khalid memilih untuk menggunakan media Kerajaan Negeri bagi tujuan kempen.

Beliau berkata, ini selaras dengan prinsip Pakatan Rakyat (PR) yang mendukung prinsip media bebas dan menyampaikan laporan seimbang.

“Saya tidak pasti sama ada menteri besar atau orang dia yang pandai-pandai,” dakwa Amirudin.

“Tapi lebih baik jangan guna media Kerajaan Negeri untuk pemilihan parti sebaliknya jadi medium sampai mesej Kerajaan Negeri kepada rakyat seperti perjanjian persefahaman (MoU) air,” katanya.

Semalam, AMK Selangor mengecam tindakan Khalid kerana didakwa menyalahgunakan media rasmi Kerajaan Negeri, SelangorKu bagi tujuan berkempen sempena pemilihan PKR 2014.

Setiausaha AMK Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad juga dalam kenyataannya merujuk kepada surat pembaca bertajuk ‘Pemilihan PKR 2014: Kenapa Tan Sri Khalid wajar diangkat sebagai Timbalan Presiden’ yang disiarkan pada 12 April lalu di akhbar berkenaan.

Sementara itu, SelangorKu dalam kenyataan hari ini mempertahankan tindakan menyiarkan artikel berkenaan atas alasan penyiaran dibuat bagi memastikan laman web itu tidak ketinggalan isu semasa.

“Selangor Kini/ TVSelangorku sememangnya laman web berita Kerajaan Negeri tetapi ia tidak bermakna isu politik semasa diketepi begitu sahaja.

“Penyiaran rencana dibuat atas keputusan meja pengarang sepenuhnya, bukan daripada telunjuk mana-mana pihak termasuk pendukung Khalid,” kata Ketua Pengarang SelangorKu, Fazallah Pit.

Katanya, rencana yang dipetik daripada blog itu hanya memperkatakan tentang kejayaan calon dan tidak menyinggung atau menghina pihak lawan.

“Sidang pengarang bersedia mempertimbang penyiaran rencana calon lain, jika ada, dan keputusan itu sepenuhnya bergantung kepada budi bicara ketua pengarang,” katanya.

Sebelum ini, Khalid mengesahkan bahawa beliau akan bertanding untuk kerusi timbalan presiden PKR mencabar penyandangnya, Mohamed Azmin Ali dan beliau juga perlu bersaing dengan dua calon lain iaitu Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk K Ramachandran.

Pengundian bagi pemilihan PKR akan bermula 26 April ini sehingga 11 Mei depan secara berperingkat mengikut negeri di mana 496,923 ahli yang layak mengundi akan memilih pimpinan baharu PKR bagi setiap peringkat.

Tiada ulasan: