Rabu, 16 April 2014

Khalid hurai kenapa isteri MB terima pembantu khas


Pembantu khas bertanggungjawab untuk menyediakan dan merangka program kemasyarakatan yang dilakukan PEKAWANIS
Isteri MB
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan keperluan mengenai pemberian pembantu khas kepada isteri Menteri Besar.

Menurut Khalid, kini, isteri Menteri Besar telah menerima seorang pembantu khas yang ditugaskan untuk membantu isteri Menteri Besar dalam program kemasyarakatan dan program sosial.

“Pemberian seorang pembantu khas kepada isteri Menteri Besar adalah sebagai kemudahan yang diberikan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Menteri Besar Incoperated (MBI),” ujarnya sewaktu menjawab soalan lisan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Jelas Khalid lagi, isterinya Puan Sri  Salbiah Tunut  juga adalah Pengetua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) yang juga merupakan sebuah pertubuhan badan kerajaan (NGO).

“Pekawanis ini dianggotai oleh wanita yang dilantik sebagai speaker, timbalan speaker, ahli-ahli exco, ahli dewan negeri, ahli parlimen, ahli dewan negara dalam negeri Selangor, dan juga orang perseorangan yang dilantik dan dijemput khas oleh majlis tertinggi,” katanya.

Jelas ADUN Pelabuhan Klang itu lagi, tiada elaun diberikan kepada isteri Menteri Besar dan juga ahli jawatankuasa PEKAWANIS.

Namun, pembantu khas isteri Menteri Besar menerima gaji, elaun, elaun telefon bimbit, dan juga insuran hayat.

Khalid turut menjelaskan, pembantu khas isteri Menteri Besar juga merupakan setiausaha Pekawanis yang bertanggungjawab untuk menyediakan dan merangka program-program kemasyarakatan yang akan dilakukan oleh PEKAWANIS.

Bahkan, lantikan pegawai khas isteri Menteri Besar ini juga adalah lantikan secara kontrak, dan tempoh lantikan adalah selama dua tahun.

Kata Khalid lagi, oleh kerana pembantu khas isteri Menteri Besar bekerja di bawah naungan MBI, pembantu khas isteri Menteri Besar juga akan mendapat hak yang sama seperti pegawai-pegawai MBI yang lain.

“Kebiasaanya, kalau pegawai MBI mendapat bonus sebulan setengah, pegawai isteri Menteri Besar juga akan dapat,” katanya.

Tiada ulasan: