Dr Asyraf Wajdi Dusuki  
Dr Asyraf Wajdi Dusuki


SHAH ALAM – Pas wajar meneruskan perjuangan melaksanakan hudud di Kelantan agar dijadikan pelopor kepada negeri lain, walaupun mendapat tentangan rakan komponen PR.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika Pas berjaya melaksanakan hudud di negeri itu, masyarakat akan faham keindahan hudud, manakala negeri lain akan turut berminat melaksanakannya.

“Pandangan negatif terhadap hudud oleh orang bukan Islam juga akan terpadam kerana dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 hukum hudud hanya untuk orang Islam.

“Saya juga yakin Pas telah lakukan penyelidikan (sebelum) kanun itu diluluskan sebulat suara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, peluang dan ruang yang diberikan Umno juga perlu digunakan sebaiknya oleh Pas bagi membuktikan yang mereka boleh laksanakan hukum itu.

“Parti itu sepatutnya tidak gentar dengan penolakan daripada rakan komponen PR, terutama DAP, jika benar-benar mahu menjayakan perjuangan asal Pas ketika mula ditubuhkan dahulu.

“Adakah mereka lebih takutkan DAP daripada hukum ALLAH? Jangan jadikan alasan tentangan daripada DAP itu untuk mengetepikan pelaksanaan hudud di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Majlis Ulama Isma, Dr Mohd Isa Hamzah berkata, Pas tidak perlu endahkan halangan daripada pihak tertentu salam usaha pelaksanaan hukum hudud.

“Kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyokong penuh usaha Pas untuk menegakkan syariat Islam. Dalam masa sama usaha itu merupakan perjuangan asal mereka.

“Sebelum ini, ia telah lama tertangguh. Mungkin mereka fikir sekarang adalah masa yang sesuai ia dilaksanakan,” katanya.

Beliau menganggap halangan daripada DAP sebagai dilema kepada Pas.

“Pastinya parti itu (Pas) akan memikirkan cara terbaik bagi menyeimbangkan prinsip parti dengan gabungan rakan komponen PR lain agar terus diyakini.

“Selain itu, akan tiba masanya isu hudud ini memperlihatkan wajah sebenar ahli parti Islam itu sendiri yang terdiri daripada kalangan ulama, profesional dan aktivis,” katanya.