Rabu, 16 April 2014

BSM sendiri mahu pindah, kata MB

MALAYSIAKINI



 
 
 
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan Persatuan Bible Malaysia (BSM) untuk memindahkan pejabatnya keluar dari Selangor dibuat oleh persatuan itu sendiri tanpa campur tangan kerajaan negeri.

Katanya, kerajaan negeri juga sejak awal lagi tidak pernah masuk campur dalam persatuan tersebut.

"Rakyat mesti percaya bahawa kami menghormati undang-undang dan hak setiap orang.

"Kita tidak pernah campur tangan dalam Bible Society, ia (berpindah) merupakan keputusan mereka dan bukan keputusan kami," katanya ketika ditemui di bangunan DUN Selangor hari ini.

Sementara itu, exco hal ehwal kerajaan tempatan Datuk Teng Chang Khim pula menegaskan bahawa BSM berhak untuk beroperasi di mana-mana sahaja yang dirasakan selamat.

"Ia hak mereka daripada segi Perlembagaan untuk berada di mana-mana sahaja yang mereka rasakan selamat," katanya kepada pemberita.

Khalid dan Teng kedua-duanya ditanya mengenai keputusan BSM untuk memindahkan pejabat dan operasinya ke Kuala Lumpur tidak lama lagi, dilaporkan bagi mengelak “jangkauan JAIS”.

“Jangkauan” itu merujuk kepada tindakan JAIS pada 2 Januari lalu yang merampas 320 naskhah Bible dalam bahasa Melayu dan Iban daripada premisnya di Petaling Jaya dan sehingga kini masih belum mengembalikannya.

Tindakan itu mengundang kritikan terhadap kerajaan Selangor yang berada dalam dilema kerana JAIS beroperasi terus dan melapor kepada Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri.

Khalid pada awal bulan ini hanya mampu menasihati BSM supaya menulis surat secara terus kepada peguam negara jika mahu mendapatkan semula Bible yang dirampas itu.
 

Tiada ulasan: